NETANYAHU (kiri) dan Lapid. FOTO AFP
NETANYAHU (kiri) dan Lapid. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid, pada Rabu berkata, beliau sudah berjaya membentuk gabungan untuk menamatkan pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Pengumuman itu dibuat Lapid pada saat-saat akhir selepas beliau berjaya mendapat sokongan daripada pelbagai parti untuk menjatuhkan perdana menteri paling lama Israel itu.

Netanyahu berkhidmat sebagai perdana menteri untuk tempoh 12 tahun.

Pemimpin berhaluan kanan yang juga jutawan teknologi, Naftali Bennett, 49, bakal berkhidmat sebagai perdana menteri pertama dalam perjanjian penggiliran itu, sebelum Lapid mengambil alih jawatan itu dalam masa dua tahun.

Sebelum ini, pihak-pihak berkaitan 'berkurung' di sebuah hotel di Tel Aviv sejak beberapa hari lalu sebelum gabungan itu diumumkan.

Bagaimanapun, usaha itu hanya akan dapat direalisasikan jika cadangan itu diluluskan oleh Parlimen Israel yang mempunyai 120 ahli.

Lapid, bekas penyampai televisyen yang mengetuai Parti Yesh Atid, pada Ahad meraih sokongan penting daripada Bennet iaitu ketua parti Yamina.

Untuk membentuk blok anti-Netanyahu, Yapid terpaksa menandatangani perjanjian dengan tujuh parti.

Ia termasuk Parti New Hope yang dipimpin bekas sekutu Netanyahu, Gideon Saar dan Parti Yisrael Beitenu yang dipimpin Avigdor Lieberman.

Gabungan itu turut disertai Parti Blue and White, Parti Buruh dan Parti Meretz.

Parti Raam yang juga parti konservatif Islam Arab-Israel dipimpin Mansour Abbas pula bersetuju menyertai gabungan itu pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 10:18 AM