Agensi

New Delhi: Pihak berkuasa penjara di Uttar Pradesh, India memulakan persiapan untuk menggantung seorang banduan yang dijatuhi hukuman mati sekali gus menjadi wanita pertama digantung sampai mati di negara itu sejak kemerdekaan pada 1947.

Shabnam Ali, 38, dijatuhi hukuman mati kerana membunuh tujuh ahli keluarganya sendiri pada April 2008.

Portal South China Morning Post melaporkan, mahkamah mendapati dia bersalah melakukan pembunuhan itu dengan kekasihnya, Saleem iaitu buruh harian.

Kedua-duanya menjalin hubungan dan ingin berkahwin tetapi keluarga Shabnam menentang.

Pasangan itu membunuh ayah Shabnam, ibu, dua abang dan isteri mereka dengan menetak mangsa hingga mati dengan kapak di rumah mereka di Amroha, kira-kira 380 kilometer dari ibu kota Lucknow.

Bekas guru sekolah rendah itu, yang sedang mengandung anak Saleem ketika kejadian kemudian mencekik anak saudaranya berusia 10 bulan.

Mahkamah rendah di Amroha pertama kali menjatuhkan hukuman mati kepada pasangan itu pada 2010 sebelum mahkamah tinggi di Allahabad mengekalkan hukuman itu.

Rayuan ke Mahkamah Agung India gagal pada 2015 dan setahun kemudian Presiden Pranab Mukherjee menolak permohonan pengampunan ke atas Shabnam.

Minggu ini, media tempatan memetik pihak berkuasa penjara dari daerah Mathura, yang satu-satunya mempunyai kemudahan di negara itu ditugaskan menangani pelaksanaan hukuman mati banduan wanita dengan mengatakan mereka bersiap sedia untuk menggantung Shabnam.

Bagaimanapun, tarikh penggantungan belum disahkan kerana mahkamah Amroha belum mengeluarkan waran untuk pelaksanaan hukuman mati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 9:47 AM