KIM Jong Un. FOTO AFP
KIM Jong Un. FOTO AFP
Agensi

Pyongyang: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berada di tempat kedua dalam senarai individu paling berpengaruh di dunia yang paling banyak dicari di Google bagi tahun ini.

The Korea Times melaporkan, kedudukan itu berdasarkan laporan Google Trends pada Jumaat lalu yang menunjukkan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih, Joe Biden di tangga teratas.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson di tempat ketiga diikuti Naib Presiden AS yang dipilih, Kamala Harris dan pelakon Tom Hanks di belakangnya, manakala Presiden AS , Donald Trump tidak membolosi senarai 10 individu paling dicari di Google.

Berdasarkan Voice of America (VOA), carian paling banyak direkodkan dari Singapura iaitu ketika persidangan kemuncak sulung Pyongyang-Washington pada 2018 diikuti dengan Uganda dan AS.

Namun, tidak dinyatakan mengapa penduduk di Uganda cenderung mencari berita berkaitan Jong Un.

Sepanjang tahun ini, carian paling banyak dilakukan mengenai Jong Un adalah pada 26 April hingga Mei apabila timbul dakwaan mengenai kesihatannya susulan portal CNN melaporkan pemimpin itu berada di tahap kritikal selepas menjalani pembedahan.

Perkataan seperti mati, koma dan mati otak turut merekodkan carian tinggi kerana dikatakan ada kaitan dengan spekulasi masalah kesihatan Jong Un berdasarkan VOA versi Korea

Turut berada dalam senarai carian tertinggi adalah Kim Yo Yong yang dikatakan akan mengambil alih tugas sekiranya abangnya,Jong Un meninggal dunia atau tidak dapat mentadbir kerajaan.

Bagaimanapun, desas-desus itu senyap selepas media tempatan menyiarkan gambar Jong Un selepaz menghadiri majlis anjuran syarikat baja pada 2 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 11:09 AM