GIOVANNI Reichertte. FOTO GoFundMe
GIOVANNI Reichertte. FOTO GoFundMe
Agensi

Los Angeles: Menyedihkan nasib seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Colorado, Amerika Syarikat (AS) kerana kini bertarung nyawa di hospital selepas dipukul dengan kejam oleh pengasuhnya yang mabuk.

Metro UK melaporkan, akibat kecederaan parah dialami, Giovanni Reichertte perlu menjalani beberapa pembedahan, sejak beberapa bulan lalu.

Nasib malang menimpa Giovanni selepas ibunya, Stefanie meminta rakannya, McKinley Sloan Hernandez, 25, untuk mengawasi kanak-kanak berkenaan.

"Saya menerima teks mesej daripada Hernandez mengatakan saya perlu bergegas ke Hospital St Anthony kerana anak saya tidak bermaya selepas mandi.

"Sebaik sahaja saya melihatnya (anak) dan semua 50 doktor berdiri di sekelilingnya, saya terpaksa meninggalkan bilik kerana ia adalah perkara paling teruk yang pernah saya lihat dalam hidup saya," kata Reichert kepada KDVR.

Giovanni sebelum itu dikatakan dihantar ke sebuah hospital kanak-kanak selepas dicederakan oleh pengasuh.

Kanak-kanak itu menjalani pembedahan kecemasan untuk menyekat pendarahan otak dan sebahagian daripada tengkoraknya dikeluarkan untuk mengurangkan tekanan.

Giovanni diintubasi dan doktor tidak pasti bagaimana proses pemulihan kanak-kanak itu.

"Sebelum ini, dia (Giovanni) adalah seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang ceria, sihat, bertenaga.

"Seperti yang kamu boleh bayangkan, ibu bapanya, Anthony dan Stefanie, benar-benar kecewa," tulis satu hantaran di halaman GoFundMe.

Stefanie berkata, Hernandez sering menjaga anaknya dan kanak-kanak lain di sebuah pusat jagaan kanak-kanak tanpa lesen di rumahnya di Lakewood, Colorado.

Hernandez bersetuju untuk menjaga Giovanni semalaman pada 1 September, tetapi ia bertukar kepada peristiwa tragis.

Reichert menemukan Giovanni dengan kecederaan akibat pukulan di kepala dan badannya.

Wanita itu berkata, Hernandez tidak akan mengakui perbuatannya.

Waran dikeluarkan untuk Hernandez pada Rabu, sebelum lelaki itu ditangkap dan menghadapi tuduhan penderaan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 1:14 PM