PEGAWAI menenangkan zebra yang menyerang seorang lelaki di Ohio. FOTO Pejabat Syerif Pickaway.
PEGAWAI menenangkan zebra yang menyerang seorang lelaki di Ohio. FOTO Pejabat Syerif Pickaway.
Agensi

Ohio: Seorang lelaki Amerika Syarikat dimasukkan ke hospital selepas seekor kuda belang menyerangnya dan menggigit lengannya, Ahad lalu.

Pejabat Syerif Pickaway berkata, anggota polis dihantar ke sebuah rumah di Circleville, Ohio, selepas mendapat panggilan seorang lelaki yang mengatakan lengannya digigit seekor kuda belang.

Katanya, pegawai pertama tiba di tempat kejadian kira-kira 45 kilometer di selatan Columbus dan melihat seekor kuda belang sedang mengganas.

"Pegawai menggunakan hon dan sirennya untuk menakutkan haiwan itu dan untuk membawa lelaki itu dalam ambulans," kata laporan pejabat berkenaan.

Laporan itu berkata, haiwan itu masih bertindak ganas ketika mangsa dirawat.

Haiwan itu ditembak pegawai selepas ia berjalan menuju ke arahnya.

Pegawai berkenaan berkata, dia terpaksa melepaskan tembakan selepas melihat kuda belang itu berjalan secara agresif ke arahnya.

"Saya menjerit ke arah haiwan itu untuk menakutkannya tetapi kuda belang itu tidak berhenti dan terus menghampiri saya," menurut laporan dokumen itu.

Laporan dari pejabat syerif mengatakan kuda belang jantan mungkin agresif kerana melindungi sekumpulan kuda belang betina di kawasan itu.

Jabatan Pertanian Ohio tidak menyenaraikan kuda belang sebagai haiwan liar dan berbahaya, sekali gus membolehkannya dijadikan haiwan peliharaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 2:08 PM