TIM Leissner. FOTO fail AFP
TIM Leissner. FOTO fail AFP
Agensi

New York: Bekas rakan kongsi Goldman Sachs memberi keterangan, pada Rabu, "ketamakan dan cita-cita" mendorong pembabitannya dalam skim rasuah yang melesapkan berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tim Leissner, bekas ketua operasi Asia Tenggara untuk Goldman, adalah saksi dalam perbicaraan jenayah Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan bank itu di Malaysia.

Pendakwa raya menuduh Ng, 49, menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana daripada 1MDB.

Ng mengaku tidak bersalah bersubahat untuk mengubah wang dan melanggar undang-undang antirasuah.

Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan serupa pada 2018 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan kerajaan.

Menurut Leissner, Ng adalah jurubank utama Goldman di 1MDB dan menjalin hubungan dengan pembiaya Malaysia, Jho Low, bermula pada 2008, yang menjadi perantara utama antara bank dan 1MDB.

"Membawa masuk perniagaan 1MDB kepada Goldman, yang akhirnya menjual bon AS$6.5 bilion (kira-kira RM27.20 bilion) dan memperoleh bayaran $600 juta (kira-kira RM2.5 bilion), dengan serta-merta menjadikan kami wira dalam bank itu.

"Ketamakan dan cita-cita menguasai saya," kata Leissner, sambil menambah bahawa kesan daripada tindakannya memusnahkan hidupnya.

Beliau juga berkata, jurubank di Goldman mahu untuk terbabit dalam setiap perjanjian pelanggan dan jika gagal, "ia dianggap "tidak boleh diterima".

"Fokus utama bagi saya ialah apa sahaja yang diperlukan bagi menyelesaikan transaksi ini untuk Goldman Sachs," katanya.

Peguam pembelaan Ng, Marc Agnifilo, berkata dalam kenyataan pembukaannya bahawa Ng tidak mempunyai peranan dalam skim yang didakwa dilakukan oleh Leissner dan Low.

Pendakwa AS berkata AS$4.5 (kira-kira RM18.83 bilion) dana yang diperoleh daripada urus niaga itu sudah dialihkan.

Bank itu pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion (kira-kira RM12.55 bilion) dan mengatur supaya anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

Leissner berkata pada mesyuarat di London pada 2012, Low menyenaraikan individu di Malaysia dan Abu Dhabi yang menurutnya perlu disogok.

Sebuah syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi bertindak sebagai penjamin untuk 1MDB dalam perjanjian itu, kata Leissner.

Senarai itu termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mansour yang menurut Low, 'tidak akan bangun dari katil untuk apa-apa yang kurang dari AS$100 juta (kira-kira RM418 juta)".

Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri pada 2018, dituduh pihak berkuasa Malaysia menerima lebih daripada AS$1 bilion (kira-kira RM4.2 bilion) yang boleh dikesan dengan 1MDB.

Beliau yang merayu hukuman penjara 12 tahun dan secara konsisten menafikan salah laku.

Jurucakap Konsulat UAE di New York tidak memberikan sebarang komen.

Low, yang didakwa bersama Ng pada 2018, belum ditahan oleh pihak berkuasa AS atau Malaysia.

Peguam Low tidak memberikan sebarang maklum balas ketika diminta mengulas.

TAMAT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 2:19 PM