INSTITUT virologi Wuhan yang pernah dituduh pihak tertentu mempunyai makmal yang menjadi sumber penularan Covid-19. FOTO AFP
INSTITUT virologi Wuhan yang pernah dituduh pihak tertentu mempunyai makmal yang menjadi sumber penularan Covid-19. FOTO AFP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengarahkan agensi perisikan negara ini menyerahkan laporan mengenai virus Covid-19 yang pertama kali muncul di China dari sumber haiwan atau kajian makmal, dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Biden dalam kenyataan menegaskan, agensi perisikan perlu menggandakan usaha untuk mengumpul dan menganalisis maklumat yang boleh membawa kepada kesimpulan kukuh mengenai asal usul Covid-19 itu.

Katanya, terdapat dua sumber mengenai bagaimana virus itu boleh tersebar dan agensi perisikan perlu mengenal pasti perkara itu dalam tempoh 90 hari.

Arahan itu dikeluarkan selepas pelbagai spekulasi dibuat mengenai asal usul virus itu yang sebelum ini didakwa muncul dari haiwan di sebuah pasar di Wuhan, China atau 'menerusi kajian makmal di bandar itu'.

Kontroversi asal usul virus itu membuat hubungan China dan AS kembali tegang.

Hasil laporan itu memberi implikasi besar bagi China, yang mengatakan mereka tidak bertanggungjawab terhadap wabak itu dan juga AS.

Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Adam Schiff meminta China untuk segera tampil supaya kesimpulan awal atau bermotifkan politik dapat dielak.

"Halangan terus menerus Beijing terhadap kajian yang telus dan komprehensif mengenai fakta dan data yang relevan mengenai sumber koronavirus, ini penting untuk membantu dunia mempersiapkan diri dengan lebih baik.

"Walaupun begitu, saya yakin (perisik) dan unsur-unsur lain dari pemerintah kita akan terus mengejar semua petunjuk yang mungkin memberikan penemuan berdasarkan bukti yang dikemas kini selaras dengan syarat 90 hari Presiden," katanya.

Institut Kesihatan Kebangsaan AS (NIH) sebelumnya membiayai penyelidikan koronavirus kelawar di Wuhan, tetapi menolak menyokong eksperimen "penambahan fungsi" yang membabitkan pengubahsuaian virus sehingga menjadi lebih mudah ditularkan kepada manusia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 10:19 AM