SAINTIS menyediakan sampel untuk pengujian di makmal Gorgas Institute (Icges) di Panama City. FOTO AFP.
SAINTIS menyediakan sampel untuk pengujian di makmal Gorgas Institute (Icges) di Panama City. FOTO AFP.
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghentikan sementara ujian klinikal hidroksiklorokuin sebagai penawar berpotensi merawat Covid-19.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media maya pada Isnin memberitahu, keputusan dibuat selepas kajian diterbitkan dalam The Lancet minggu lalu menunjukkan kandungan itu berpotensi meningkatkan risiko kematian pesakit Covid-19.

Katanya, kumpulan eksekutif dikenali Solidarity Trial yang merekodkan pesakit berdaftar di seluruh dunia untuk menguji kemungkinan rawatan Covid-19, terpaksa menangguhkan ujian menggunakan ubat itu sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kumpulan eksekutif menghentikan sementara penggunaan hidroksiklorokuin dalam ujian berkenaan dan data keselamatan diselia Lembaga Pemantauan Keselamatan Data.

"Namun ujian lain terus dilakukan," katanya.

Lazimnya, hidroksiklorokuin digunakan untuk merawat artritis tetapi tokoh masyarakat termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyokong penggunaan ubat itu sebagai rawatan Covid-19 yang turut mendorong kerajaan AS membelinya secara besar-besaran.

Turut mengekalkan ubat sama adalah Brazil yang tidak akan mengubah cadangan rawatan menggunakan hidroksiklorokuin meskipun amaran WHO mengenai risiko kandungan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 10:35 AM