ROBOT kawalan jauh untuk menyembur pembasmi kuman digunakan di Wuhan. FOTO AFP
ROBOT kawalan jauh untuk menyembur pembasmi kuman digunakan di Wuhan. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Sekumpulan penyelidik perubatan dari Hospital Zhongnan, Universiti Wuhan, China mendakwa individu berdarah A mempunyai potensi lebih tinggi mudah dijangkiti koronavirus baharu (Covid-19) berbanding kumpulan darah lain.

Portal South China Morning Post (SCMP) melaporkan, hasil kajian juga mendapati individu berdarah O mempunyai risiko jangkitan yang rendah.

Penyelidik berkenaan mengambil sampel 2,000 pesakit positif virus itu berdasarkan kumpulan darah berbeza di Wuhan, Shenzhen dan membandingkan dengan penduduk di kawasan yang lebih sihat.

Hasilnya, pesakit dengan darah A menunjukkan risiko kadar jangkitan tinggi dan mempunyai simptom lebih teruk.

Ketua Penyelidik kajian itu, Wang Xinghuan berkata, biarpun kajian masih berada di peringkat awal, pihaknya menyarankan kerajaan mengambil kira faktor perbezaan darah dalam merancang langkah mitigasi atau ketika merawat individu yang dijangkiti.

“Individu berdarah A mungkin memerlukan lebih perlindungan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Pesakit yang dijangkiti dengan kumpulan darah A mungkin memerlukan lebih pengawasan dan rawatan yang agresif,” katanya.

Wang berkata, sebaliknya kumpulan darah O mempunyai risiko yang jauh lebih rendah untuk penyakit berjangkit berbanding dengan kumpulan darah bukan O.

Daripada 206 pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Wuhan, 85 pesakit adalah berdarah A, iaitu 63 peratus lebih daripada 52 pesakit dengan kumpulan darah O.

Kajian itu dijalankan saintis dan doktor dari bandar raya di seluruh China termasuk Beijing, Wuhan, Shanghai dan Shenzhen.

Jenis darah berbeza dalam populasi. Di Amerika Syarikat, kira-kira 44 peratus daripada penduduk mereka dengan darah jenis O, manakala kira-kira 41 peratus mempunyai darah jenis A.

Di Wuhan yang mempunyai populasi kira-kira 11 juta, individu dengan darah jenis O adalah 32 peratus, manakala mereka dengan darah jenis A adalah 34 peratus, untuk individu sihat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 10:58 AM