LAO Rongzhi ditahan polis selepas 20 tahun bersembunyi.
LAO Rongzhi ditahan polis selepas 20 tahun bersembunyi.
Agensi

BEIJING: Seorang bekas guru perempuan dipercayai pembunuh bersiri akhirnya ditangkap selepas 20 tahun meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

Lao Rongzhi, 45, melarikan diri ketika kekasihnya, Fa Ziying ditahan polis di Hefei, Anhui pada 1999. Bagaimanapun, ketika itu Fa enggan mendedahkan maklumat mengenainya kepada polis, malah memberi maklumat palsu supaya wanita itu dapat terus melenyapkan diri.

Fa yang ketika itu berusia 35 tahun akhirnya mengaku menculik dan membunuh tujuh individu termasuk budak perempuan berusia tiga tahun sebelum dihukum mati pada Disember 1999, lapor South China Morning Post.

Sepanjang tempoh itu, Lao menggunakan pengenalan palsu dan bekerja di kedai jam sebuah pusat beli-belah di Xiamen sebelum ditahan polis pada Jumaat lalu.

Lao meninggalkan kerjayanya sebagai guru sekolah rendah selepas berkenalan dengan Fa dan dituduh terbabit dalam siri jenayah selama tiga tahun.

Menurut polis, dia menyamar sebagai pelacur untuk memerangkap lelaki dikenali sebagai Xiong di Jiangxi pada 1996, sebelum memaksa lelaki berkenaan mendedahkan alamat rumahnya.

Mereka membunuh mangsa dan mencuri barang kemas serta 200,000 yuan (RM118,488) selain membunuh isteri dan anak perempuan mangsa yang baru berusia tiga tahun.

Pada tahun seterusnya, pasangan itu menculik dan membunuh dua pelacur, sebelum mencuri jam, telefon bimbit serta wang mangsa.

Polis berkata, Lao ditahan di Nanchang, lokasi pembunuhan pertama dan akan dibicarakan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 12:13 PM