TEKNOLOGI tanpa kemanusiaan banyak membawa kehancuran kepada manusia.
TEKNOLOGI tanpa kemanusiaan banyak membawa kehancuran kepada manusia.
Mohd Rizal Azman Rifin

BERMULA abad ke-10 hingga ke-16, itu adalah tempoh yang memperlihatkan umat Islam menghasilkan inovasi dan reka cipta bertunjangkan ilmu sains dan teknologi.

Menariknya, pembabitan ilmuwan Muslim dalam bidang ilmu sains dan teknologi semata-mata mahu menjadikan produk serta ilmu itu sebagai amal jariah untuk kesejahteraan ummah.

Al-Jazari misalnya, ketika era keemasan pemerintahan Islam di Andalusia, beliau berjaya menghasilkan karya kejuruteraan mekanikal seperti kincir air.

Natijahnya, karya sains dan teknologi beliau banyak membantu masyarakat dalam sektor pertanian dan ia terus ditambah baik sehingga kini.

Itulah yang membuktikan produk umat Islam lebih terarah kepada kesejahteraan hidup manusia sejagat.

Bagaimanapun, apabila sains dan teknologi ‘diceduk’ oleh Barat, keluhuran dan kemurnian beralih arah kepada penghasilan produk yang menjurus kepada kemusnahan.

Pengeboman tentera Amerika Syarikat ke atas Bandar Hiroshima pada 6 Ogos 1945 disusuli tiga hari kemudian, 9 Ogos 1945 meranapkan sama sekali kehidupan manusia di dua bandar berkenaan.

Bom atom yang buat pertama kali digunakan membuktikan akal minda manusia genius dalam bidang sains dan teknologi sekiranya tidak berpaksikan nilai kemanusiaan akan terhasillah seperti bom atom itu.

Perkembangan ilmu dalam bidang pertahanan juga semakin moden dengan pelbagai rekaan baharu. Kita cukup bimbang kerana ia akan membawa kepada kemusnahan harta benda dan nyawa manusia.

Sekiranya pengguna sains dan teknologi memiliki jiwa beragama dan iman yang kukuh, mustahil berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaannya.

Sebab itulah pada zaman awal keemasan umat Islam terdahulu, tidak timbul kerosakan disebabkan tangan manusia.

Saintis mahupun sebagai penggunanya sama-sama menyedari mereka akan dipertanggungjawabkan oleh Allah dalam setiap perbuatan di dunia ini.

Ahli sains komited dan agresif merungkai permasalahan hidup dengan menghasilkan produk sains manakala penggunanya memanfaatkan hasil itu di jalan yang diredai Allah.

Kewujudan sikap dan nilai pegangan tauhid yang teguh membawa kepada kehidupan umat Islam yang bertamadun tinggi pada era berkenaan.

Umat Islam terdahulu juga berpegang kepada pengertian tamadun itu dalam konteks penjagaan matlamat maqasid syariah iaitu menjaga agama, akal, harta, nyawa, jiwa, keturunan dan maruah.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Prof Madya Rasid Muhammad menyatakan perkembangan sesebuah tamadun ditentukan oleh manusia serta budaya yang membentuknya.

Menurutnya, seluruh faktor itu ditentukan pula oleh kepatuhan dan keterikatan sesebuah masyarakat terhadap nilai serta prinsip Islam.

Jangka hayat sesebuah tamadun amat ditentukan oleh kefahaman serta penghayatan masyarakatnya terhadap ajaran Islam.

Itulah agama yang mencetuskan kecemerlangan umat Islam dan ketamadu-
nannya selama ini.

Imam Ahmad dan Ibnu Majah ada meriwayatkan satu peringatan Rasulullah SAW yang menyebut: “Jangan lakukan sesuatu yang memudaratkan.”

Hadis itu sebenarnya bersifat umum dan tentu sekali turut merangkumi bidang penggunaan sains dan teknologi.

Berpegang kepada pesanan Rasulullah SAW itu pastinya akan membawa suatu era kepada setiap ilmuwan khususnya Muslim akan sentiasa menitikberatkan tujuan sesuatu rekaan dan kajiannya demi kesejahteraan ummah.

Ilmu dan akal minda adalah amanah Allah yang seharusnya kita pergunakan hanya ke jalan yang menepati kehendak-Nya.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 8:15 AM