BALAI polis Patharpratima, Bengal Barat lokasi Abhijit Das menyerah diri sambil membawa kepala isterinya. - Agensi
BALAI polis Patharpratima, Bengal Barat lokasi Abhijit Das menyerah diri sambil membawa kepala isterinya. - Agensi
Agensi

New Delhi: Anggota polis di sebuah balai polis di India terkejut apabila seorang lelaki datang sambil membawa kepala isterinya yang diletakkan di dalam beg dan memberitahu dia membunuh wanita itu kerana curang.

Times of India melaporkan, lelaki itu yang dikenali sebagai Abhijit Das berusia 30-an datang ke sebuah balai polis di Patharpratima, Bengal Barat dengan membawa beg pada Isnin lalu dan meminta untuk berjumpa dengan pegawai bertugas.

Apabila ditanya polis, Das memberitahu dia mahu menyerah diri kerana baru membunuh isterinya kerana wanita itu curang dengan lelaki lain.

Anggota polis yang bertugas pada mulanya tidak percaya dengan pengakuan itu tetapi Das terus mengeluarkan kepala isterinya dari dalam beg dan meletakkannya di atas meja.

“Sekarang kamu percaya dengan saya,” katanya.

Anggota polis yang terkejut dengan tindakan Das terus menahan lelaki itu.

Ketika disoal-siasat, Das memberitahu dia membunuh isterinya sebelum memenggal kepala wanita itu selepas mereka bertengkar di rumah.

Kata Das, dia membunuh isterinya kerana berang selepas mengetahui wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 3:14 PM