PEKARANGAN penjara bagaikan medan perang dengan bangkai motosikal serta kereta yang diterbalik musnah dibakar. FOTO Agensi
PEKARANGAN penjara bagaikan medan perang dengan bangkai motosikal serta kereta yang diterbalik musnah dibakar. FOTO Agensi
Agensi

JAKARTA: Polis Indonesia masih memburu hampir 100 banduan yang masih bebas selepas kejadian ratusan tahanan melarikan diri dari penjara di Sumatera Utara kelmarin.

Banduan di penjara yang menempatkan pesalah dadah di Langkat itu, merusuh termasuk membakar motosikal dan kenderaan kakitangan penjara sebelum melepaskan diri dari penjara itu beramai-ramai.

Melalui gambar, pekarangan penjara itu bagaikan medan perang dengan bangkai motosikal serta kereta yang diterbalik musnah dibakar manakala puluhan tentera berkawal.

Menurut polis, ratusan banduan berjaya melepaskan diri namun sebahagian besar berjaya ditahan kembali.

Bagaimanapun, Ketua Polis Sumatera Utara, Agus Andrianto berkata, pihak berkuasa masih memburu hampir 100 lagi banduan.

Kejadian itu adalah yang kedua dalam masa seminggu selepas lebih 100 banduan melarikan diri dari sebuah penjara lain Sabtu lalu, juga di Sumatera, ketika rusuhan yang berpunca daripada tindakan wardar memukul banduan ditangkap kerana mengambil dadah methamphetamine.

Sebahagian besar banduan terbabit sudah berjaya ditahan kembali namun puluhan lagi masih bebas.

Sementara itu, jurucakap polis kebangsaan Indonesia, Muhammad Iqbal berkata, pihak berkuasa menahan puluhan suspek pengganas yang dipercayai ada kaitan dengan Daish, termasuk yang merancang melakukan serangan bom ketika keputusan pilihan raya diumumkan minggu depan.

Seramai 29 suspek ditahan sepanjang bulan ini, menjadikan jumlah kesemuanya 60 orang sejak awal tahun.

Lapan suspek terbunuh dalam pertempuran dengan polis, termasuk isteri seorang militan yang meletupkan diri bersama anaknya dalam rumah yang dikepung, Mac lalu.

Menurut Muhammad, antara suspek itu mahir membuat bom serta pernah berjuang bersama Daish di Syria selain anggota kumpulan pelampau tempatan, Jemaah Anshurat Daulah (JAD).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 9:30 AM