SUAMI isteri di China digalakkan untuk memiliki anak kedua dengan subsidi kewangan dan cuti bersalin bergaji lebih panjang. Foto REUTERS
SUAMI isteri di China digalakkan untuk memiliki anak kedua dengan subsidi kewangan dan cuti bersalin bergaji lebih panjang. Foto REUTERS
Agensi

CHINA yang bimbang dengan penurunan kadar kelahiran menjanjikan subsidi kewangan dan cuti bersalin bergaji lebih panjang bagi menggalakkan suami isteri memiliki anak kedua.

Laporan Hindustan Times menyatakan, China menghapuskan dasar satu anak pada 2016.

Semua 31 wilayah, daerah dan perbandaran, hampir keseluruhan China menaikkan mandat 98 hari cuti bersalin kepada antara 138 hingga 158 hari, lapor laman web thepaper.com.

Elaun kewangan dan perkhidmatan perubatan juga dimasukkan sebagai insentif bagi pasangan di beberapa daerah.

“Ibu turut dibayar gaji sepanjang cuti bersalin manakala bapa diberi kelayakan mendapat cuti daripada 15 hingga 30 hari secara purata.

“Di bandar raya Shihezi di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, ibu yang mempunyai anak kedua ditawarkan subsidi sehingga 1,000 yuan (RM599) selain membekalkan mereka dengan subsidi susu formula bayi sehingga tiga tahun,” menurut laporan.

Pada masa sama, bandar raya Xiantao di wilayah Hubei juga memberikan subsidi perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada ibu yang melahirkan anak kedua.

Bagaimanapun, pakar menyifatkan ia tidak mencukupi kerana kadar kesuburan di China pada 2016 cuma 1.7 dan dianggap rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 4:16 PM