MANGSA yang terbunuh (gambar kecil). FOTO/AFP
MANGSA yang terbunuh (gambar kecil). FOTO/AFP
AFP

JOHANNESBURG: Seorang lelaki tertembak mati anak lelakinya berusia 14 tahun di luar sekolahnya di Afrika Selatan, ketika sedang menunggu untuk mengambil mangsa selepas kelas, kata polis semalam.

Polis sudah menahan lelaki itu, 50, yang dijangka dibawa ke mahkamah hari ini.

Lelaki itu menghantar anaknya untuk kelas petang dan mengambil keputusan untuk menunggu di luar sekolah tinggi di selatan Johannesburg. Beliau kemudian mengunci pintu dan menunggu dalam kereta, kemudian tertidur.

Apabila anak beliau kembali, mangsa mengetuk cermin bahagian penumpang untuk mengejutkan bapanya.

“Bapa ini tidur dalam kereta bersama senjata, beliau terkejut dan tertembak anaknya. Beliau kemudian menyedari mangsa tembakan adalah anaknya sendiri. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” kata jurucakap polis, Mpande Khonza.

Difahamkan, sekolah itu menangguhkan peperiksaan yang sepatutnya dijalankan semalam. Insiden itu berlaku di Ennerdale iaitu sebuah kawasan dipenuhi kumpulan gangster.

Jenayah ganas sering berlaku di Afrika Selatan termasuk rompakan bersenjata, rogol, pencurian kereta serta rompakan secara terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 5:33 AM