ANGGOTA polis mengawal ketat tempat kejadian. FOTO/AFP
ANGGOTA polis mengawal ketat tempat kejadian. FOTO/AFP
Agensi

SURABAYA: Kanak-kanak yang terbabit dalam serangan bom membabitkan gereja dan balai polis di bandar raya kedua terbesar Indonesia dalam tempoh 24 jam sejak Isnin lalu, tidak bercampur dengan masyarakat atau kanak-kanak lain.

Menurut polis Indonesia, siasatan berdasarkan perbualan dengan kanak-kanak yang terselamat mendapati mereka diasingkan daripada masyarakat dan bergaul dengan militan.

Dalam serangan ke atas tiga gereja Ahad lalu, enam sekeluarga terbunuh bersama tujuh lagi mangsa, menjadikannya serangan pengganas terburuk di Indonesia sejak pengeboman restoran di Bali pada 2005.

Kelmarin, lima sekeluarga yang menaiki dua motosikal menyerang balai polis dengan meletupkan diri mereka menyebabkan enam terbunuh, empat daripadanya pengganas dan 10 lagi cedera.

Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu yang berusia lapan tahun, terselamat.

“Kanak-kanak terbabit ‘dipengaruhi’ oleh ibu bapa mereka,” kata Ketua Polis Jawa Timur, Machfud Arifin, kepada Reuters.

Menurutnya, budak perempuan yang tidak diikat bahan letupan pada tubuhnya, tercampak sejauh tiga meter akibat letupan dan kini dirawat di unit rawatan rapi.

“Dia sudah sedar dan akan ditemani saudara-mara serta pekerja sosial apabila disoal polis nanti,” katanya.

Sementara itu Presiden Joko Widodo menyifatkan penyerang sebagai ‘kejam’ berikutan tahap kerosakan dan hakikat kanak-kanak digunakan dalam serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 6:30 AM