RAKYAT Timor Leste meraikan keputusan pilihan raya. FOTO/AFP
RAKYAT Timor Leste meraikan keputusan pilihan raya. FOTO/AFP
AFP

DILI: Pakatan pembangkang Timor Leste dijangka mengambil alih tampuk pemerintahan selepas menang majoriti penuh, keputusan awal pilihan raya ditunjukkan semalam, selepas kempen dicemari keganasan dan tuduh menuduh.

Ia adalah pilihan raya umum kedua dalam tempoh kurang setahun untuk negara kepulauan kecil dengan 1.2 juta orang, bergelut mengapungkan ekonomi bergantung hasil minyak selepas berbulan kebuntuan politik yang menyaksikan Parlimen dibubar Januari lalu.

Dengan 97 peratus undian pilihan raya Sabtu lalu sudah dikira, Pakatan Majoriti Parlimen (AMP) terdiri daripada tiga parti diketuai wira kemerdekaan, Xanana Gusmao, memiliki kira-kira 48 peratus undian.

Keputusan itu bermaksud, pakatan berkenaan yang termasuk Kongres Kebangsaan untuk Pembinaan Semula Timor (CNRT) diketuai Gusmao, Parti Pembebasan Rakyat (PLP) dan parti belia, Khunto, memperoleh keseluruhan majoriti 34 kerusi dalam 65 kerusi Parlimen.

Bekas jajahan Portugis itu memperoleh kemerdekaan pada 2002 selepas penjajahan brutal 24 tahun oleh Indonesia diikuti tempoh dua setengah tahun pengawasan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Fretilin, yang menang tipis pilihan raya Julai tahun lalu, memperoleh 36 peratus undi atau 23 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 8:47 AM