AKTIVIS mengibarkan bendera Indonesia dan Palestin dalam satu tunjuk perasaan membantah Trump di Jakarta baru-baru ini. - EPA
AKTIVIS mengibarkan bendera Indonesia dan Palestin dalam satu tunjuk perasaan membantah Trump di Jakarta baru-baru ini. - EPA
Reuters

Jakarta: Kerajaan Indonesia membatalkan tarif atau cukai terhadap barangan yang diimport dari Palestin sebagai menyokong ekonomi wilayah itu, kata Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita.

Enggartiasto berkata, Jakarta turut memberi akses pasaran secara langsung kepada beberapa barangan dari Palestin bermula tahun depan.

Katanya, setakat ini produk dari Palestin perlu melalui Jordan sebelum diimport ke Indonesia tetapi bermula 1 Januari depan ia boleh dihantar terus ke negara ini.

“Kami membuka akses pasaran untuk kurma dan minyak zaitun seperti yang diminta Palestin.

“Selain itu, kami juga meminta mereka menyenaraikan produk yang mahu dieksport dan mahu diimport dari Indonesia,” kata Enggartiasto kepada wartawan di Jakarta.

Enggartiasto baru pulang selepas bertemu rakan sejawatannya dari Palestin ketika mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Dunia di Buenos Aires, Argentina baru-baru ini.

Tambahnya, Jakarta turut menyatakan sokongan terhadap Palestin untuk menjadi ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Indonesia yang mempunyai penduduk beragama Islam paling ramai di dunia sudah lama menjadi penyokong penubuhan negara Palestin merdeka.

Jakarta juga menentang keras tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Puluhan ribu penduduk Indonesia juga berkumpul termasuk mengadakan tunjuk perasaan di kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta bagi membantah tindakan Trump.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 8:26 AM