YINGLUCK
YINGLUCK

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha berkata, dia tahu di mana Yingluck Shinawatra berada tetapi enggan mendedahkan lokasi bekas pemimpin itu berada sehingga keputusan mahkamah pada hari ini.

Yingluck yang juga bekas perdana menteri melarikan diri dari Thailand pada 25 Ogos lalu, tidak lama sebelum Mahkamah Agung membacakan keputusan kes tuduhan cuai yang dihadapinya.

“Saya tahu tetapi saya tidak boleh mendedahkannya lagi,” kata Prayuth kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet semalam.

Prayuth adalah ketua tentera yang menumbangkan kerajaan Yingluck pada rampasan kuasa pada Mei 2014.

“Saya akan beritahu di mana dia berada selepas 27 September (hari ini). Saya ada perisik,” katanya.

Menurutnya, Yingluck tidak memohon perlindungan suaka politik di luar negara.

Mahkamah dijadual membacakan keputusan perbicaraan terhadap Yingluck pada hari ini dengan bekas pemimpin itu berdepan hukuman penjara 10 tahun.

Yingluck dipercayai melarikan diri ke Dubai di mana abangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra berada. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 9:01 AM