ANGGOTA polis menandakan rumah yang disahkan kosong dalam gerakan mencari mangsa di Houston. - EPA
ANGGOTA polis menandakan rumah yang disahkan kosong dalam gerakan mencari mangsa di Houston. - EPA
SUKARELAWAN mencari mangsa banjir di Houston, Texas. - AFP
SUKARELAWAN mencari mangsa banjir di Houston, Texas. - AFP

Texas (Amerika Syarikat): Seminggu selepas taufan besar Harvey membadai Gulf Coast Amerika Syarikat (AS), anggota penyelamat melancarkan gerakan mencari mangsa yang masih terperangkap di dalam kediaman mereka, dalam pada beberapa bandar melihat banjir semakin surut.

Anggota kecemasan melancarkan gerakan penyelamat melalui air dan udara di bandar-bandar sekitar Texas yang sehingga semalam terputus hubungan selepas dilanda banjir akibat Harvey, yang akhirnya bergerak ke kawasan pedalaman seminggu selepas melanda daerah itu.

Ribuan orang awam dan penyelamat mengharungi banjir serta pelbagai kesukaran lain untuk mencari mangsa bah yang tidak pernah dilihat seumpamanya sebelum ini,

Penduduk bandar Orange, Lonnie Givens berkata, dia dan isterinya Missy tersilap menganggarkan kesan taufan berkenaan.

“Kami menyangka semuanya okay, namun nyata kami tersilap. Akibatnya kami terperangkap dalam rumah tanpa bekalan elektrik dan tidak dapat berpindah,” katanya.

Keadaan mereka sama dengan puluhan lain di bandar-bandar sekitar Texas yang terperangkap akibat jalan serta lebuh raya dinaiki air.

Sebuah hospital di Beaumont terpaksa memindahkan hampir 200 pesakitnya apabila bekalan air bandar itu terjejas.

Setakat semalam, sekurang-kurangnya 38 orang dilaporkan maut selain kerugian dialami bernilai berbilion dolar.

Kekurangan bekalan elektrik turut mencetuskan letupan berkembar di sebuah kilang bahan kimia di Texas yang kemudian disahkan tiada kesan bahaya oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, satu lagi taufan, Irma, dijangka membadai selatan Caribbean, awal minggu depan. Buat masa ini masih terlalu awal untuk melihat kesannya di Florida atau Teluk Mexico, tetapi keadaan dianggap membimbangkan susulan kesan Harvey.

Penasihat Keselamatan Dalam Negeri Tom Bossert menganggarkan 100,000 kediaman rosak atau musnah akibat banjir, termasuk ada yang ditenggelami sehingga 2.4 meter air.

Katanya, Rumah Putih akan meminta dana kecemasan daripada Kongres.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 6:31 AM