SEORANG anggota polis mengambil butiran peribadi seorang penduduk di Payatas sebelum ujian saringan dadah dilakukan. - Agensi
SEORANG anggota polis mengambil butiran peribadi seorang penduduk di Payatas sebelum ujian saringan dadah dilakukan. - Agensi
Reuters

Manila: Polis Filipina semalam melancarkan kempen dari pintu ke pintu di kawasan kejiranan paling miskin di Manila bagi menggalakkan penduduk mengambil ujian saringan dadah secara sukarela.

Dengan membawa kit ujian dadah, anggota polis yang ditemani pegawai komuniti pergi dari rumah ke rumah dan bertanya penduduk sama ada mahu menyerahkan sampel air kencing.

Kawasan kejiranan Payatas di Quezon City di Manila dikenal pasti sebagai kawasan jenayah tinggi dengan masalah dadah yang serius.

Pemimpin komuniti berkata, mereka minta bantuan polis untuk menjalankan ujian itu yang dilakukan secara sukarela oleh penduduk.

Sekumpulan kecil penduduk dilihat berbaris untuk mengambil ujian dadah itu tetapi polis tidak memberitahu berapa ramai yang dikesan positif dadah.

Pihak berkuasa juga tidak memberitahu apa tindakan yang diambil terhadap penduduk yang dikesan positif menggunakan dadah atau mereka yang enggan mengambil ujian itu.

Berpuluh-puluh penduduk Payatas antara ribuan mangsa yang dibunuh dalam kempen memerangi dadah Presiden Rodrigo Duterte.

Pengkritik dan aktivis hak asasi manusia berkata, kematian kebanyakan mangsa berkenaan adalah mencurigakan dan mendakwa polis menembak mati suspek secara terancang.

Lebih 300 daripada 130,000 penduduk di Payatas termasuk dalam senarai penagih dadah yang dikenal pasti oleh pemimpin komuniti.

Kerajaan berkata, senarai itu dibuat bagi mengenal pasti mereka yang memerlukan pemulihan akibat ketagihan dadah tetapi aktivis mendakwa individu dalam senarai itu menjadi sasaran pembunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:11 AM