Polis India menyuraikan tunjuk perasan Barisan Revolusi Pelajar dan Belia yang membantah larangan penjualan lembu untuk disembelih oleh kerajaan di Chennai, hari ini. - Foto AFP
Polis India menyuraikan tunjuk perasan Barisan Revolusi Pelajar dan Belia yang membantah larangan penjualan lembu untuk disembelih oleh kerajaan di Chennai, hari ini. - Foto AFP
Agensi

Mahkamah Tinggi Madras hari ini, menggantung sementara larangan penjualan dan menyembelih lembu yang dikenakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Minggu lalu, kerajaan mengeluarkan larangan jual beli lembu, haiwan yang dianggap suci oleh penganut Hindu, untuk disembelih di seluruh India.

Menurut laporan AP, mahkamah itu mengarahkan larangan itu digantung empat minggu dan kerajaan perlu menjawab petisyen difailkan bahawa seseorang mempunyai hak untuk memilih makanannya.

Larangan itu mencetuskan bantahan dengan sesetengah negeri menyatakan akan membantah pelaksanaannya.

Daging lembu dan kerbau menjadi makanan biasa di sesetengah negeri di selatan dan timur laut India namun menjadi larangan di sebahagian besar negara itu.

Menyembelih lembu, memiliki atau memakan dagingnya dilarang di kebanyakan negeri walaupun tidak semua, malah ada yang mengenakan penjara seumur hidup.

Larangan kerajaan itu bukan saja menjejaskan perniagaan lembu, malah termasuk kerbau, sapi dan unta.

Kerala, Benggala Barat, Meghalaya dan Puducherry yang membenarkan penyembelihan lembu, menyatakan akan membantah larangan itu.

Modi yang menjadi perdana menteri pada 2014, berusaha memenuhi tuntutan golongan radikal Hindu supaya mengharamkan penyembelihan lembu.

Lebih 10 orang, kebanyakannya beragama Islam dibunuh perusuh Hindu berkaitan penjualan dan penyembelihan lembu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 10:28 PM