SUKARELAWAN HUMIC 2018 sedia membantu komuniti Muslim di Kemboja.
SUKARELAWAN HUMIC 2018 sedia membantu komuniti Muslim di Kemboja.
Redzuan Muharam

RASA prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik mendorong sekumpulan sukarelawan daripada Jawatankuasa Perwakilan Kolej Cemara Akasia (JPKCA) melaksanakan Misi Kemanusiaan di Kemboja (HUMIC) 2018.

Misi itu dianjurkan dengan kerjasama Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS) pada 12 hingga 16 September lalu di Wilayah Chhnang, Kemboja dan mendapat sokongan pengurusan tertinggi INTEC Education College (INTEC).

Pengarah Program, Muhammad Hariz Hanifah berkata, seramai 63 sukarelawan terdiri daripada penuntut, pensyarah, pegawai dan kakitangan kediaman INTEC mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Katanya, matlamat program untuk membantu umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di Kemboja menerusi penyampaian sumbangan bara­ngan keperluan untuk 650 penduduk di tiga penempatan di Wilayah Chhnang iaitu Kampung Pursat, Chungkoh dan Kesanbanda.

Menurut Muhammad Hariz, lokasi berkenaan dipilih kerana mengambil kira beberapa faktor antaranya lokasi penempatan yang jauh daripada akses kemudahan dan tahap kemiskinannya.

“Ini adalah misi sulung JPKCA di luar negara dan idea itu tercetus hasil perbincangan ahli jawatankuasa dan persetujuan semua yang turut serta.

“Persediaan dilakukan sejak Disember tahun lalu bermula dengan proses merekrut sukarelawan, pengumpulan dana, seterusnya pembahagian tugasan membabitkan perancangan aktiviti dan pengisian sepanjang program.

“Cabaran paling besar adalah mendapat­kan dana tetapi kami berjaya melepasi sasaran menerusi kutipan sebanyak RM170,000 hasil sumbangan orang awam, syarikat korporat dan sukarelawan terbabit,” katanya.

Muhammad Hariz berkata, selain penyampaian sumbangan bara­ngan keperluan dan basikal, sukarelawan turut dibawa melawat sekolah di kawasan berkenaan dan menjalankan aktiviti pemotongan rambut bagi mendidik penduduk mengenai kepentingan penjagaan diri.

SUKARELAWAN HUMIC 2018 dan sebahagian penduduk kanak-kanak bergambar kenangan di hadapan masjid.
SUKARELAWAN HUMIC 2018 dan sebahagian penduduk kanak-kanak bergambar kenangan di hadapan masjid.

“Selain itu, sebanyak 30 pam air turut dibina bagi membolehkan penduduk di sekitar wilayah berkenaan mendapatkan bekalan air bersih.

“Penyampaian bantuan menerusi misi ini bukan saja mengukuhkan hubungan antara dua negara tetapi juga memberi pendedahan dan kesedaran kepada sukarelawan terbabit.

“Jujurnya, saya terkesan apabila melihat mereka menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekura­ngan. Maka, program sebegini akan diteruskan pada masa depan dan kami me­nyasarkan dua lokasi di Indonesia iaitu Aceh dan Lombok,” katanya yang juga penuntut Persijilan Profesional Akauntan (ACCA).

Salah seorang sukarelawan, Amira Abdullah, 20, bersyukur dapat turut serta kerana sebelum ini dia sekadar menjadi sukarelawan di dalam negara menerusi program bersama anak yatim dan gelandangan.

Katanya, pengalaman itu amat berharga kerana membolehkannya menjejakkan kaki di Kemboja, seterusnya melihat sendiri kesusahan di tanggung penduduk.

“Sebelum ini saya ha­nya tahu kisah mengenai kemiskinan penduduk Islam di Kemboja menerusi laporan berita di kaca televisyen tetapi penyertaan dalam program ini membolehkan saya melihat lebih dekat kehidupan mereka.

“Antara yang tidak dapat saya lupakan tentunya ketika melihat kesungguhan mereka belajar dalam keadaan serba kekurangan di sekolah, keterujaan penduduk yang berebut sewaktu mengambil agihan makanan dan riak wajah ketika berkumpul di masjid bagi mendapatkan perlindungan selepas kawasan sekitar dilanda banjir.

“Pengalaman ini tidak mung­kin diperoleh tanpa menyertai program ini dan saya berharap ada lagi peluang untuk me­nyertainya pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 6:00 AM