GAMBAR tersebar di media sosial pada April 2017 menunjukkan tahanan di sebuah kem penahanan di Hotan. Jutaan golongan Uighur dipercayai ditahan di kem seumpama ini dalam usaha memaksa mereka meninggalkan Islam.
GAMBAR tersebar di media sosial pada April 2017 menunjukkan tahanan di sebuah kem penahanan di Hotan. Jutaan golongan Uighur dipercayai ditahan di kem seumpama ini dalam usaha memaksa mereka meninggalkan Islam.
AFP

ISTERI mereka yang berbangsa Uighur hilang pada 2017 selepas dicekup pihak berkuasa China atas alasan mengekang pelampau Islam.

Wanita terbabit sudah dibebaskan, namun suami mereka yang berbangsa Pakistan berkata, harga dibayar terlalu tinggi apabila golongan isteri itu terpaksa membuktikan ‘kebolehsesuaian dengan masyarakat di China’, seterusnya secara terbuka mengetepikan kepercayaan mereka.

Kira-kira 40 wanita itu, semuanya dari Xinjiang di barat China, berkahwin dengan peniaga dari negara jiran, Pakistan. Mereka juga antara sejuta orang dipercayai ditahan di pelbagai kem yang digelar pihak berkuasa sebagai ‘pusat pendidikan vokasional.’

Bagaimanapun, suami mereka mendakwa wanita terbabit dipaksa melakukan perkara haram bukan saja di kem berkenaan, malah selepas dibebaskan.

“Isteri berkata, dia dipaksa makan babi dan minum arak, malah dia masih perlu melakukannya. Pihak berkuasa berkata, dia perlu memuaskan hati mereka bahawa dia tidak lagi memiliki pemikiran radikal sebelum dibenarkan pulang ke sini,” katanya.

SEKUMPULAN wanita Uighur menunggu bas di Urumqi, Xinjiang.
SEKUMPULAN wanita Uighur menunggu bas di Urumqi, Xinjiang.

Menurut lelaki itu yang melawat isterinya di rumah mentua di Xinjiang, baru-baru ini, wanita terbabit kini tidak lagi menunaikan solat manakala al-Quran digantikan dengan buku mengenai China.

Peniaga berkenaan meninggalkan isteri mereka di Xinjiang selama beberapa minggu atau bulan untuk kembali ke Pakistan bagi menguruskan perniagaan. Susulan itu, mereka percaya isteri mereka dibawa ke kem berkenaan kerana hubungan dengan Pakistan melalui suami.

Golongan yang pernah menjalani tahanan itu berkata, mereka ditahan semata-mata kerana mengamalkan gaya hidup Islam termasuk berhijab atau berjanggut.

Bagaimanapun, perbuatan pihak berkuasa China menyasarkan orang Islam khususnya Uighur semakin mendapat perhatian dan kecaman masyarakat dunia termasuk menggugat hubungan ekonomi dengan Pakistan. Susulan itu, wanita terbabit mula dilepaskan secara berperingkat sejak dua bulan lalu.

Jurucakap kerajaan Gilgit-Baltistan, Faiz Ullah Faraq mengesahkan kebanyakan wanita terbabit sudah dibebaskan.

AFP menemu bual sembilan suami yang mengesahkan isteri mereka sudah dibebaskan, namun tidak dibenarkan meninggalkan Xinjiang selama tiga bulan malah dipantau sepanjang tempoh itu.

Seorang peniaga batu permata berkata: “Mereka akan memantau sejauh mana dia mampu menyesuaikan diri semula dalam masyarakat China. Jika mereka tidak berpuas hati, dia akan dihantar semula ke kem berkenaan.”

SEORANG lelaki Pakistan menunjukkan gambar bersama isteri di telefon bimbitnya. Dia mencari jawapan mengenai kehilangan wanita itu, tahun lalu.
SEORANG lelaki Pakistan menunjukkan gambar bersama isteri di telefon bimbitnya. Dia mencari jawapan mengenai kehilangan wanita itu, tahun lalu.

Dia mengaku pada mulanya gembira isteri dibebaskan, namun semakin pudar selepas wanita itu tidak sama seperti dulu.

“Isteri berkata, dia dipaksa menari, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, makan babi dan minum arak di kem itu.

“Dia kini membawa ke mana-mana buku peraturan yang perlu dipatuhinya yang mengandungi ilustrasi seperti masjid dipangkah merah dan bendera China dengan tanda hijau.

“Sejak dibebaskan dia sentiasa dibelenggu ketakutan. Dia banyak mendiamkan diri dan menyimpan syak terhadap semua orang termasuk ibu bapanya dan saya.

“Dulu dia menjaga solat, namun kini tidak lagi malah dia sudah mula minum arak walaupun di restoran kerana itu antara perkara diperhatikan pihak berkuasa.

“Saya bimbang perkahwinan kami tidak kekal kerana dia kini terlalu berbeza, dia sudah berubah menjadi orang yang tidak dikenali,” katanya.

Semua suami berkenaan enggan nama mereka didedahkan kerana bimbang mengundang tindakan pihak berkuasa yang membuat lawatan mengejut ke rumah isteri mereka setiap minggu.

WANITA Uighur membeli-belah di sebuah bazar di Hotan.
WANITA Uighur membeli-belah di sebuah bazar di Hotan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 9:37 AM