FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Industri minyak sawit Malaysia dijangka menunjukkan pertumbuhan pada 2024 berikutan pemulihan bekalan buruh, prospek harga minyak sawit yang lebih baik dan peningkatan permintaan dari destinasi eksport utama, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata walaupun prospek industri minyak sawit dilihat positif, penggiat pasaran perlu kekal berwaspada dengan kemungkinan cabaran yang saling berkaitan.

"(Cabaran) ini mungkin seperti keadaan cuaca yang semakin tidak menentu, potensi perubahan kepada perdagangan global dan dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus, dan risiko geopolitik yang berterusan, yang kesemuanya boleh memberi kesan yang ketara kepada perdagangan minyak sawit," katanya semasa berucap pada Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC2024) ke-35 di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata, menurut laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Januari 2024, eksport minyak sawit diunjur meningkat sebanyak 3.3 peratus, mencapai 15.60 juta tan pada 2024 daripada 15.10 juta tan pada 2023.

Beliau berkata, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit juga dijangka menokok 4.3 peratus kepada RM110 bilion pada 2024 daripada RM105 bilion tahun lepas.

"Bekalan tandan buah segar yang cukup mendorong harga minyak sawit kembali normal kepada purata RM3,890.50 satu tan pada 2023, berikutan rekod tertinggi RM5,087.50 satu tan pada 2022.

"Eksport minyak sawit turut menyaksikan penyusutan 1.1 peratus berikutan permintaan yang berkurangan, menyebabkan stok lebih tinggi," katanya.

Di bursa, Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) Bursa Malaysia Derivatif untuk keseluruhan tahun lepas merekodkan jumlah dagangan sebanyak 14.8 juta kontrak atau bersamaan dengan 370 juta tan metrik, hampir lima kali ganda daripada pengeluaran global.

Abdul Wahid berkata industri minyak sawit kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia, iaitu sebagai antara eksport komoditi utamanya.

"Walaupun gangguan rantaian bekalan akibat pandemik mereda pada 2023, pasaran komoditi global masih berdepan dengan cabaran yang kuat, antaranya langkah memperketat dasar monetari, ketegangan geopolitik yang meningkat dan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Bursa Malaysia Derivatives Bhd menganjurkan POC2024 mulai 4 Mac hingga 6 Mac 2024 di ibu negara yang dijangka menarik penyertaan lebih 2,000 peserta dari 50 negara.

Ia dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 2:25 PM