Presiden Toyota Industries, Koichi Ito (dua dari kiri) dan lembaga pengarah menundukkan kepala memohon maaf. - FOTO AFP
Presiden Toyota Industries, Koichi Ito (dua dari kiri) dan lembaga pengarah menundukkan kepala memohon maaf. - FOTO AFP
AFP

Tokyo: Pengerusi Toyota berkata, beliau "malu" dengan skandal yang membabitkan anak syarikat gergasi kereta Jepun itu, ketika firma itu mengumumkan rekod jualan kenderaan sebanyak 11.2 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Angka berkenaan yang juga rekod industri menyaksikan Toyota mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kereta paling laris di dunia untuk tahun keempat berturut-turut, hasil daripada pemulihan dalam permintaan dan berjaya mengurangkan masalah bekalan cip.

Hanya mengambil jenama Toyota dan Lexus, jumlah jualan global mencecah 10.3 juta unit, tetapi pertumbuhan merosot bagi Daihatsu, yang membina kenderaan mini dan terbabit dalam skandal ujian keselamatan.

Pembuat trak dan bas Hino, yang turut dilanda skandal berkaitan ujian penipuan enjinnya di Jepun, menyaksikan volum jualan merosot hampir 10 peratus.

Ia berlaku sehari selepas Toyota berkata ia menangguhkan penghantaran 10 model yang menggunakan enjin diesel yang dikaitkan dengan penyelewengan ujian di sebuah syarikat gabungan, Toyota Industries.

Pengerusi lembaga pengarah Akio Toyoda tunduk memohon maaf pada sidang akhbar pada Selasa dan berkata dia bertanggungjawab atas salah laku itu.

"Saya memohon maaf atas kesalahan berulang oleh Hino Motors, Daihatsu Motor, dan Toyota Industries yang telah menimbulkan masalah dan kebimbangan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.

"Mereka hilang pandangan terhadap nilai dan keutamaan yang sepatutnya dipertahankan.

"Ia akan mengambil masa untuk memulihkan kepercayaan daripada pelanggan kami," katanya sambil menambah bahawa dia "malu" dengan keadaan itu

Jumlah jualan kenderaan Toyota melonjak 7.2 peratus pada tahun lalu berbanding 9.2 juta untuk Kumpulan Volkswagen, yang jualan unitnya melonjak 12 peratus.

Hyundai-Kia mengekalkan tempat ketiga pada 2023 dengan 7.3 juta unit terjual, meningkat 6.7 peratus.

Dari segi nilai pasaran, bagaimanapun, pembuat kereta elektrik Amerika Syarikat Elon Musk, Tesla kekal nombor satu di hadapan gergasi Jepun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 4:02 PM