GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartiika Amri

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan harga minyak sawit didagangkan akan berada sekitar RM3,800 hingga RM4,000 satu tan bagi separuh kedua tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, unjuran itu lebih tinggi berbanding separuh pertama 2023.

"Walaupun negara berdepan dengan El-Nino dan cuaca panas, namun kesan tekanan suhu tinggi itu dilihat akan memberi impak terhadap produktiviti di Sabah dan Sarawak.

"Tidak dapat dinafikan sepanjang El-Nino sudah pasti ia memberi kesan penurunan kepada pengeluaran minyak sawit, tetapi ia tidak akan turun segera kerana mengambil masa 15 ke 18 bulan untuk melihat kesan El-Nino.

"Kesannya boleh mula dilihat pada tahun depan, bukan tahun ini dan apabila pengeluaran perlahan ia turut menjejaskan eksport minyak sawit.

"Namun yang baiknya, disebabkan eksport rendah, permintaan akan tinggi dan harga minyak sawit akan meningkat.

"Pada minggu ini memang kita melihat penurunan harga di bawah RM3,800 satu tan, namun separuh kedua 2023 ia akan meningkat lebih RM4,000 satu tan seperti diunjurkan," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Apresiasi Media: Merarau Bersama Media di sini, hari ini.

Parveez berkata, tahun ini juga pihaknya menjangkakan dapat mengekalkan pengeluaran sebanyak 19 juta tan minyak sawit selain masih menunggu kemasukan pekerja asing.

"Tahun lalu pengeluaran minyak sawit lebih kurang 18 ke 19 juta tan dan tahun ini ia masih sama, namun akan terjejas tahun depan.

"El-Nino pula akan menjejaskan antara dua ke tiga peratus terhadap penghasilan minyak sawit dan paling tinggi boleh mencecah lima peratus, tetapi berdasarkan El-Nino yang melanda negara pada 2016, pengeluaran terjejas sebanyak 20 peratus," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPOB, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, mengenai mesyuarat Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), beliau berharap minyak sawit Malaysia terus diiktiraf negara luar.

Beliau berkata, pertama kali Malaysia dan Indonesia membuat misi bersama ke pasaran yang penting di Eropah.

"Kami hendak menegaskan iaitu Malaysia dan Indonesia sebagai pengeluar terbesar minyak sawit dunia dan kami mahu Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf minyak sawit kita.

"Itu pesanan yang hendak kita sampaikan ke Brazil minggu hadapan dan percaya EU akan teruskan hubungan supaya tiada diskriminasi kepada minyak sawit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 4:06 PM