Pesawat AirAsia.
Pesawat AirAsia.

Kuala Lumpur: AirAsia Aviation Group sekali lagi diiktiraf sebagai salah satu daripada 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat di dunia untuk tahun 2023.

AirAsia Malaysia (AK), AirAsia Thailand (FD) dan AirAsia Filipina (Z2) serta syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia X Malaysia (D7) dan Thai AirAsia X (XJ) telah diiktiraf dengan tahap keselamatan dan integriti operasi terhadap Covid-19 secara keseluruhan dengan penilaian 7/7 bintang daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Airasia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, keselamatan adalah faktor penentu utama bagi pengembara dan juga merupakan faktor utama yang mempengaruhi reputasi mana-mana syarikat penerbangan, lebih-lebih lagi selepas pandemik.

"Kami terus mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pakar penerbangan di Airlineratings.com atas pengiktirafan mereka.

"Dalam tempoh sekatan perjalanan pada dua tahun lalu kami telah memperkenalkan pelbagai inovasi dan prosedur tanpa sentuhan untuk menjadikan penerbangan lebih lancar dan bersih.

"Semua langkah ini membantu memulihkan keyakinan dalam perjalanan udara dan merangsang pengguna untuk terbang bersama kami," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarang dan Pengasas Airlineratings.com, Geoffrey Thomas berkata, ia memuji AirAsia kerana terus mengutamakan aspek keselamatan dan integriti operasi terhadap Covid-19.

"Semua syarikat penerbangan yang diiktiraf juga telah terus lulus audit keselamatan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) utama - IOSA, yang meliputi lebih daripada 1,060 parameter dan merupakan penanda aras global untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi.

"Kami tidak sabar untuk melihat AirAsia terus terbang tinggi pada masa hadapan berikutan pemulihan sektor perjalanan udara yang pantas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 5:44 PM