Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

KEMENTERIAN Industri Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memantau dengan teliti sebarang perkembangan terkini dari sudut perundangan Kesatuan Eropah (EU) yang berpotensi mencemarkan reputasi minyak sawit, sekali gus menjejaskan daya saing minyak sawit dan industri berkaitan minyak sawit di Malaysia.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin meminta semua rakyat Malaysia bangkit bersama KPPK mempertahankan minyak sawit negara di mata dunia.

Beliau berkata, sebagai pengeluar minyak sawit utama dunia, Malaysia dan Indonesia sudah berdepan selama lebih dua dekad dengan pelbagai kempen anti-minyak sawit yang dimainkan oleh negara barat hingga menjejaskan pasaran minyak sawit dan produk berkaitan.

Katanya, jika negara tidak menghentikan kempen fitnah itu secara sistematik dan strategik, ia boleh menjejaskan daya saing eksport minyak sawit Malaysia dalam jangka masa panjang akibat persepsi negatif dari negara barat terhadap minyak sawit.

"Industri minyak sawit dan produk berkaitan pada masa ini menjadi penyumbang utama kepada hasil ekonomi negara serta memainkan peranan penting dalam mengurangkan kemiskinan luar bandar dengan menyediakan pekerjaan dan penambahbaikkan infrastruktur.

"Untuk melindungi peranan penting ini, Malaysia menentang tuduhan berniat tidak berasas ini melalui pendekatan 'rundingan secara berdiplomasi' (soft consultancy)," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 7:00 AM