PENGGUNA mencuba makanan hasil keluaran PKS tempatan di mesin layan diri.
PENGGUNA mencuba makanan hasil keluaran PKS tempatan di mesin layan diri.

Kuala Lumpur: Atlas Vending, pembekal mesin layan diri terbesar di Malaysia bekerjasama dengan pelbagai jenama membabitkan 13 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari setiap negeri di Malaysia melalui kempen Sapot SME.

Melalui kerjasama ini, setiap PKS akan meletakkan produk kegemaran tempatan yang disahkan halal di dalam mesin Atlas Vending di Balai Perlepasan KLIA Ekspres di KL Sentral.

PKS berkenaan boleh menggunakan mesin layan diri itu tanpa perlu membayar sewa dengan perkhidmatan isian semula percuma selama tiga bulan mulai pertengahan September.

Kempen Sapot SME ini adalah fasa pertama konsep Atlas Minit Mart terbaru yang akan dilancarkan bagi menawarkan rangkaian produk lebih meluas melalui mesin layan diri.

Inisiatif ini selaras dengan usaha Atlas Vending bagi membantu PKS tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Jenama-jenama yang menyertai kempen ini ialah Madina Food (Perlis), Nature's Fresh (Kedah), Yee Hup Hiong Piah (Perak), TalentCook (Pulau Pinang), TFN (Selangor), myEureka (Melaka), Rehan (Negeri Sembilan), Azhar Food (Johor), Tokey Sambal Hitam (Pahang), Anopokku (Terengganu), Akifcafe (Kelantan), Heera Enterprise (Sabah) dan Lee Fah Mee (Sarawak).

Ketua Pemasaran dan Perniagaan Sokongan Atlas Vending, Amy Gan berkata, pihaknya mendapati bahawa ramai usahawan

tempatan terpaksa mengecilkan skop pelan perniagaan mereka, akibat masalah logistik bekalan, kos sewaan dan pengurangan waktu operasi.

"Oleh itu, kami bercadang untuk menawarkan mesin layan diri kami sebagai saluran jualan berautomasi bagi membantu meluaskan lagi jangkauan mereka.

"Menerusi kempen Sapot SME ini, kami berharap untuk meraikan semangat Malaysia dengan menyokong usahawan di seluruh negara dan keazaman mereka untuk terus bertahan," katanya dalam kenyataan.

Menerusi pengenalan mesin layan diri ini, pengguna boleh mendapatkan produk yang biasa mereka beli di kedai serbaneka dan pasar mini menerusi mesin layan diri berautomasi yang beroperasi 24 jam setiap hari daripada mi segera hinggalah kepada sambal, perencah dan rempah ratus yang diperlukan untuk memasak, beraneka jenis makanan ringan bergoreng tempatan, buah-buah kering dan bertih jagung serta brownies.

Mesin berkenaan juga dilengkapi lampu UV yang berupaya menghapuskan 99.99 peratus kuman di atas papan kekunci yang kerap disentuh pengguna.

Bagi melindungi pelanggan daripada terdedah kepada sinar UV, ciri lampu UV itu akan terpadam secara automatik apabila alat pengesan gerakan mengesan ada orang menghampiri mesin layan diri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 7:01 AM