PERUNCIT dan pengeluar meningkatkan kehadiran mereka dalam talian bagi memudahkan mencapai pasaran.
PERUNCIT dan pengeluar meningkatkan kehadiran mereka dalam talian bagi memudahkan mencapai pasaran.

Kuala Lumpur: Pengguna di Malaysia dilihat memilih pembelian dalam talian ketika pandemik melanda, lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Berdasarkan survei dijalankan Juwai IQI berkaitan Covid-19, 57 peratus responden memilih mendapatkan keperluan mereka secara dalam talian.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Group, Kashif Ansari berkata, hasil survei itu mendapati pengguna Malaysia lebih banyak membeli dalam talian berbanding setahun lalu.

"Lazada Malaysia merekodkan peningkatan jumlah peniaga baharu sehingga 300 peratus.

"Malah, berdasarkan angka dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), jualan dalam talian meningkat dua kali ganda ketika pandemik," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, peningkatan jualan dalam talian ini selari dengan pelaksanaan pantas bahagian ekonomi lain.

"Pembayaran tanpa tunai, penggunaan aplikasi super dan penembusan internet mudah alih yang meluas turut menyumbang kepada kemajuan ini.

"Peruncit dan pengeluar meningkatkan kehadiran mereka dalam talian bagi memudahkan mereka mencapai pasaran memandangkan pengguna kini semakin banyak membeli melalui telefon bimbit mereka daripada secara langsung," katanya.

Menurutnya, berdasarkan survei dijalankan, lelaki dilihat lebih banyak membeli dalam talian berbanding wanita.

"Kira-kira 58 peratus lelaki memilih pembelian dalam talian berbanding 56 peratus wanita," katanya.

Survei itu turut mendapati, 32 peratus responden membeli lebih sedikit barangan berbanding sebelum pandemik, manakala 25 peratus membeli lebih banyak.

Kira-kira 30 peratus responden membeli jumlah barangan yang sama seperti sebelum pandemik, manakala tujuh peratus (kurang sedikit) dan enam peratus (banyak berkurangan).

Sementara itu, daripada 400 responden yang mengambil bahagian, 71 peratus percaya bahawa kehidupan akan kembali kepada norma sebelum pandemik menjelang akhir 2022.

Namun, 17 peratus menjangka ia hanya berlaku pada 2023 dan sebilangan kecil menjangka kehidupan kembali normal selepas 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 7:01 AM