UMW Toyota Motor (UMWT).
UMW Toyota Motor (UMWT).
BERNAMA

UMW Toyota Motor (UMWT), anak syarikat UMW Holdings Bhd, mencatatkan jualan 7,509 unit kenderaan pada Julai 2020, jumlah tertinggi bagi tahun ini dan 70 peratus lebih tinggi daripada 4,417 unit yang didaftarkan pada bulan Jun.

Dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, UMW Holdings berkata, peningkatan penjualan pada bulan Julai didorong terutama oleh pengecualian cukai penjualan yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

"Toyota Vios terus menjadi model terlaris, menyumbang sekitar 34 peratus daripada jumlah penjualannya pada Julai. Pada awal Jun, UMWT telah memperkenalkan Toyota RAV4 baru generasi kelima, iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diimport sepenuhnya dari Jepun," katanya.

Diterajui oleh segmen automotif berikutan penjualan yang memberangsangkan oleh UMWT dan 38 peratus syarikat sekutunya Perodua pada bulan Julai, UMW berkata, ia menjangkakan prestasi kewangan lebih baik pada separuh kedua tahun 2020.

Bahagian pasaran automotif kumpulan pada Julai dianggarkan pada 52 peratus, lebih tinggi daripada 51.4 peratus yang dicatatkan pada 2019.

Sementara itu, bagi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Julai menjadi bulan penjualan tertinggi pada tahun ini, dengan pendaftaran kenderaan sebanyak 23,203 unit, meningkat 9.2 peratus daripada 21,250 unit yang dijual pada Jun.

"Pengeluaran di kedua-dua kilang pemasangan Perodua juga ditingkatkan bagi memenuhi permintaan yang tinggi," katanya.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Azmin Che Yusoff berkata, UMWT dan Perodua menunjukkan tahap pemulihan yang kuat berikutan gangguan penjualan pada awal tahun yang disebabkan oleh Covid-19.

Beliau berkata, kumpulan itu kekal optimis dengan penjualan yang memberangsangkan oleh UMWT dan Perodua pada Julai.

"Kami juga berterima kasih kepada kerajaan dalam memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan menerapkan pengecualian cukai penjualan untuk meningkatkan industri automotif di Malaysia.

"Dengan pelaksanaan langkah ini, kami yakin dapat mencapai sasaran penjualan kami bagi tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 8:45 PM