GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nabil Basaruddin


GERGASI teknologi dari China, Huawei meneruskan rekod pencapaian cemerlangnya dengan menduduki tempat ke-61 pada tahun ini dalam senarai Fortune 500.

Prestasi luar biasa itu adalah anjakan sebanyak 11 mata dari tahun lalu, menjadikan jumlah peningkatan sebanyak 68 mata sejak 2017.

Senarai kedudukan syarikat Fortune 500 adalah berdasarkan kepada pendapatan dan keuntungan, yang juga memberi tumpuan terhadap saiz syarikat berbanding senarai lain.

Selain itu, penyenaraian syarikat dalam Fortune 500 adalah petunjuk penting bagi syarikat terkemuka untuk menggukur kekuatan, saiz dan daya saing merentasi ekonomi global yang merangkumi sempadan, kewarganegaraan serta perbezaan budaya.

Kedudukan tinggi yang diperolehi Huawei adalah berdasarkan kepada peningkatan dari segi pendapatan sebanyak 22 peratus dan 27.5 peratus perubahan keuntungan dari tahun ke tahun.

Bagaimanapun, kehebatan yang dimiliki oleh syarikat teknologi itu dikatakan melebihi dari keuntungan yang diperolehnya.

Ketua Perniagaan Pengguna Kumpulan Huawei, Richard Yu berkata, lonjakan kedudukan syarikat dalam senarai Fortune 500 membuktikan satu lagi kejayaan luar biasa syarikat pada 2019.

“Huawei sentiasa berdedikasi dalam menyampaikan teknologi terkini kepada para pelanggan dengan tumpuan yang teliti terhadap inovasi menerusi komitmen untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ia membolehkan syarikat ini untuk terus mencatatkan kejayaan pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Awal tahun ini, Huawei berada pada tangga ke-47 dalam senarai 100 Teratas untuk Jenama Paling Bernilai Dunia berikutan pengenalan produk berinovasi tingginya seperti telefon pintar.

Antaranya termasuklah Huawei P30 dilengkapi dengan sistem kamera yang canggih dan Huawei Mate X yang dilengkapi inovasi perintis yang luar biasa dan Huawei Mate 20 X bersama teknologi 5G.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:39 PM