LIM (dua dari kiri) bersama Agil (kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima pada majlis penyampaian Anugerah SME CGC ke-24, semalam.
LIM (dua dari kiri) bersama Agil (kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima pada majlis penyampaian Anugerah SME CGC ke-24, semalam.
Mahanum Abdul Aziz


CREDIT Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) berada di landasan tepat untuk meluluskan RM4.6 bilion jaminan dan pembiayaan yang akan dimanfaatkan 9,800 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, tahun lalu CGC menjamin dan membiayai RM3.7 bilion dengan 9,000 PKS mendapat manfaatnya.

Beliau berkata, setakat ini sejumlah RM1 bilion jaminan diluluskan CGC kepada 2,000 PKS.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran jaminan ditetapkan tahun ini. Kami percaya tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah SME CGC ke-24 di sini, semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Terdahulu, Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt berkata, CGC meluluskan lebih 460,000 jaminan dan pembiayaan bernilai lebih RM70 bilion sejak 47 tahun lalu dengan lebih 330,000 PKS mendapat manfaatnya.

Beliau berkata, setakat ini CGC melancarkan 102 peringkat jaminan portfolio berjumlah RM12.2 bilion yang memanfaatkan 25,000 PKS.

Katanya, CGC juga mempunyai enam peringkat jaminan borong bernilai RM1.5 bilion untuk 7,700 PKS.

Pada majlis penyampaian anugerah itu, 15 anugerah disampaikan kepada PKS CGC yang mencatatkan prestasi terbaik mengikut tiga kategori iaitu Pelanggan Lepasan CGC, Pelanggan dengan Penarafan Kredit Lebih Baik dan Pelanggan Contoh Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i).

Ambank (M) Bhd (Ambank), Hong Leong Bank Bhd (HLBB) dan Malayan Banking Bhd (Maybank) adalah penerima Anugerah Rakan Institusi Kewangan (FI) Terkemuka bagi kategori komersial.

CIMB Islamic Bank Bhd memperoleh Anugerah Rakan FI 2018 bagi kategori perbankan Islam sementara AmBank memenangi Anugerah FI Terkemuka bagi kategori Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:18 AM