PEMINAT buku yang hadir ke tapak jualan  Big Bad Wolf Kuala Lumpur 2018 di MIECC,  Sri Kembangan.
PEMINAT buku yang hadir ke tapak jualan Big Bad Wolf Kuala Lumpur 2018 di MIECC, Sri Kembangan.
Syarifah Dayana Syed Bakri


KUALA LUMPUR: Jualan buku tahunan Big Bad Wolf (BBW) memulakan sambutan ulang tahun ke-10 pada tahun depan dengan menawarkan diskaun sehingga 95 peratus untuk jualan kali ini.

Jualan yang bermula sejak 7 Disember hingga 17 Disember ini diadakan di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan dan dibuka untuk kunjungan selama 24 jam setiap hari.

Untuk edisi kali ini, BBW menawarkan sehingga 4.5 juta buku dengan potongan harga antara 75 peratus hingga 95 peratus.

Penggemar bahan bacaan boleh mendapatkan pelbagai judul dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Cina yang meliputi pelbagai genre antaranya novel remaja, novel cinta, sains fiksyen, jenayah, penyiasatan, perniagaan hinggalah buku masakan.

Jualan ini turut menampilkan beberapa penerbit buku pendidikan tempatan antaranya Kualiti, Sasbadi, Nusamas, Cemerlang dan Pelangi.

Malah, pengunjung juga berpeluang mendapatkan novel terbitan Karangkraf, PTS, Pakeer dan Pustaka Azhar.

Bagi ibu bapa yang merancang mendapatkan buku kanak-kanak, BBW turut menawarkan pelbagai bahan bacaan sesuai untuk golongan ini yang meliputi buku mewarna, aktiviti, cerita dan bergambar.

Menariknya edisi BBW kali ini, pengunjung juga berpeluang mendapatkan buku dengan ciri augmented reality (AR) di mana BBW dikenali sebagai lokasi penjualan buku AR terbesar di Asia.

Pengasas BBW, Andrew Yap berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian yang direkodkan memandangkan mereka hanya bermula kecil sebagai penjual buku.

“Sebelum ini kami hanya menjual buku pada harga lebih rendah daripada pasaran namun, kini jualan BBW boleh mencapai sehingga 500,000 pengunjung,” katanya.

Dalam tempoh tiga tahun, BBW mula meluaskan jajahan ke negara jiran termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Taiwan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 4:00 AM