Dr Shamshubaridah
Dr Shamshubaridah
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil peluang menyediakan kandungan dan perisian terutama dalam ekonomi perkongsian (sharing economy) bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam revolusi Industri 4.0.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (Universiti Kebangsaan Malaysia-CESMED) Profesor Datin Dr Shamshubaridah Ramlee berkata, langkah itu penting kerana PKS dilihat kurang mendapat peluang dalam mendapatkan atau menghasilkan peralatan kerana ia dimiliki syarikat yang lebih besar.

“Secara asasnya, industri ini dipacu oleh syarikat lebih besar maka PKS boleh mengambil peluang dalam membangunkan kandungan dan perisian seperti dalam bidang animasi,” katanya, di sini.

Beliau berkata, peruntukan yang diberi kerajaan bagi melonjakkan Industri 4.0 melalui Belanjawan 2019 dilihat memang baik dan perlu ada berdasarkan perkembangan industri itu yang semakin meluas.

Bagaimanapun, PKS dilihat berhadapan kesukaran dalam menerokai dan memanfaatkan Industri 4.0 dan kesediaan PKS untuk melaksanakannya masih rendah.

“Dana Readiness Assessment untuk 500 syarikat PKS dengan peruntukan RM210 juta tidak diketahui boleh diagihkan kepada PKS yang bagaimana kerana kriteria pemilihan masih belum jelas.

“Peruntukan kepada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) untuk kandungan kecerdasan buatan (AI) hanya akan bermanfaat kepada PKS yang sudah besar operasinya,” katanya.

Shamshubaridah berkata, galakan untuk PKS bersaiz kecil tidak jelas dan ia perlu dilihat sesuai dengan keperluan gig economy.

“Pembangunan kandungan adalah salah satu cara untuk membolehkan PKS bersaiz kecil mendapatkan manfaat daripada Industri 4.0 dengan mengendalikan kandungan untuk syarikat lebih besar atau menghasilkan kandungan kecil dalam pangkalan web atau aplikasi mudah alih untuk syarikat lebih kecil.

“Sebagai contoh, mereka boleh menghasilkan kandungan dalam sektor penghantaran, e-hailing, pendidikan, tuisyen elektronik (e-tuition) atau perkhidmatan pembersihan,” katanya.

Dalam masa sama, kerjasama antara PKS dan institusi pengajian tinggi (IPT) penting memandangkan sumber bakat dan ilmu berkaitan Industri 4.0 terdapat di universiti dan politeknik.

“Peruntukan RM400 juta untuk pembangunan dan penyelidikan di IPT dengan geran padanan perlu mengambil kira bidang baru termasuk Internet untuk segalanya (IoT) dan AI.

“Malah, penyelidikan bersifat gunaan untuk menyelesaikan masalah PKS perlu diberi lebih penekanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 9:51 AM