RAVINDRAN
RAVINDRAN
HM Digital

PEMAIN industri automotif tempatan mendedahkan lonjakan permintaan ketika tempoh kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang berakhir September ini atau tax holiday dijangka melebihi stok sedia ada dan tidak mampu memenuhi semua tempahan pelanggan.

Presiden UMW
Toyota Motor,
K Ravindran berkata, setakat Jun, semua tempahan bagi model Toyota dapat diserahkan sehingga akhir Ogos namun pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada perkara itu berlanjutan jika tempahan dibuat pada bulan berikutnya.

“Berdasarkan tempahan semasa, kami dapati stok mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan. Namun untuk tempoh dua bulan akan datang belum pasti.

“Permintaan untuk semua model terutama Vios melonjak selepas pengumuman kadar sifar GST. Untuk model Vios, kami dapati tempoh menunggu sehingga
2.5 bulan. Kami akan maklumkan kepada pelanggan ketika membuat tempahan sama ada ia diserahkan sebelum atau selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Erik Winter berkata, syarikat itu menyaksikan trend kekurangan stok dengan kemungkinan besar beberapa model tidak mencukupi untuk memenuhi tempahan pelanggan.

“Pelanggan yang membuat tempahan sekarang akan menerima kenderaan sebelum berakhir Ogos. Buat masa ini, stok cukup untuk memenuhi semua tempahan pelanggan. Jika tempahan terus meningkat dalam tempoh Julai atau Ogos, mungkin kami tidak dapat mencapai tempoh serahan akhir bulan depan,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdullah berkata, berdasarkan rekod semasa, stok pengeluaran kereta Honda cukup untuk memenuhi tempahan pelanggan pada masa ini.

Katanya, Honda Malaysia sedang memantau stok kenderaan memandangkan beberapa model tertentu mungkin kehabisan stok disebabkan permintaan tinggi terutama model yang dijual pada harga di bawah RM100,000.

“Dalam borang tempahan kereta Honda, kami sudah menyatakan tempoh serahan sama ada sebelum atau selepas September. Maka, ia bergantung kepada pelanggan untuk terus beli atau membatalkan hasrat mereka.

“Perancangan pengeluaran dibuat tiga hingga empat bulan lebih awal. Maka, kita tidak dapat meningkatkan kapasiti secara mendadak untuk memenuhi tempahan pelanggan kerana ia membabitkan seluruh ekosistem termasuk vendor komponen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 8:09 AM