HM Digital

Kuala Lumpur: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganggarkan sektor awam akan dapat menjimatkan kos sekurang-kurangnya RM1 bilion menerusi Amalan Pengawalseliaan Baik (GRP).

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Razali Hussain berkata, langkah kerajaan dalam menggalakkan persekitaran perniagaan yang kompetitif dapat menyumbang dalam mempercepatkan pembangunan ekonomi dan sosial dengan ketara.

“Di peringkat perusahaan, kami menyasarkan menjana penjimatan kos RM650 juta menerusi program yang dibangunkan untuk memanfaatkan keupayaan perusahaan secara optimum,” katanya selepas menyampaikan ucapan di Pameran Inovasi untuk Peningkatan Produktiviti, di sini, semalam.

Dianjurkan oleh MPC, acara sehari itu bermatlamat mengetengahkan keberkesanan platform perkongsian strategik dalam meningkatkan produktiviti.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Mohd Razali berkata, tahun lalu, 198 peraturan perniagaan dikaji semula yang menyumbang kepada penjimatan kos pematuhan RM1.13 bilion.

Di peringkat perusahaan, beliau berkata, RM650 juta penjimatan kos dijana menerusi proses projek inovasi dan RM6.4 juta lagi menerusi projek lean (membuang apa yang tidak diperlukan) melibatkan 302 syarikat.

Mohd Razali berkata, beberapa inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan produktiviti di Malaysia sejak pertengahan tahun 90-an.

“Namun, kemajuannya agak perlahan jika dibandingkan dengan standard antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, MPC terus menerajui usaha negara dalam meningkatkan daya saing dalam produktiviti menerusi perkongsian dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan persatuan industri.

“Di peringkat antarabangsa, MPC bekerjasama dengan Pertubuhan Produktiviti Asia dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun dalam meningkatkan produktiviti, dan pada masa sama menyediakan dan memudahkan industri dengan kemahiran dan pengetahuan mengenai teknik dan pengurusan untuk meningkatkan produktiviti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 5:24 AM