HAKIM mahu perbaiki kedudukan pada baki tiga perlumbaan.
HAKIM mahu perbaiki kedudukan pada baki tiga perlumbaan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas menamatkan saingan Piala Red Bull Rookies 2023 di kedudukan ke-12 keseluruhan, pelumba berbakat negara, Hakim Danish Ramli mempunyai satu lagi misi untuk menamatkan kempen European Talent Cup (ETC) di kedudukan paling baik.

Ketika ini, pelumba berusia 16 tahun itu yang beraksi bersama pasukan Monlau Motul menduduki tempat ke-17 keseluruhan dengan mengumpul 24 mata selepas gagal mengutip mata pada empat perlumbaan terakhir.

Hakim Danish berpeluang memperbaiki kedudukan pada baki tiga perlumbaan selepas ini termasuk dua daripadanya di pusingan Motorland Aragon hujung minggu ini sebelum perlumbaan itu melabuhkan tirainya di Valencia, bulan depan.

"Saya tidak sabar kembali beraksi dalam European Talent Cup pusingan keenam minggu ini. Saya ingin melakukan perlumbaan lebih baik berbanding di Catalunya, Julai lalu.

"Saya sudah mempersiapkan diri saya dengan pelbagai latihan dan akan berusaha seawal sesi latihan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril turut beraksi pada perlumbaan hujung minggu ini dalam kategori JuniorGP bersama Asia Talent Team.

Danial yang menamatkan kempen Piala Red Bull Rookies 2023 dengan mengumpul 40 mata untuk berada di kedudukan ke-16 keseluruhan daripada 26 pelumba, juga masih berpeluang memperbaiki kedudukannya selepas ketika ini hanya mengumpul 19 mata untuk berada di kedudukan ke-20.

"Saya yakin sesi latihan daripada segi fizikal dan mental dapat membantu saya mempamerkan aksi terbaik minggu ini di Aragon.

"Saya tidak berjaya menamatkan perlumbaan di pusingan 5 Catalunya pada perlumbaan 2, namun misi minggu ini tetap sama iaitu saya akan cuba untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:17 PM