VERSTAPPEN tiba di Spa-Francorchamps menjelang GP Belgium. FOTO REUTERS
VERSTAPPEN tiba di Spa-Francorchamps menjelang GP Belgium. FOTO REUTERS
Reuters

Spa-Francorchamps: Pemandu pendahulu keseluruhan Formula Satu (F1) dari Red Bull, Max Verstappen dikenakan penalti lima petak grid di Grand Prix (GP) Belgium, Ahad ini, kerana menukar kotak gear.

Pasukan terbabit mengesahkan sebelum latihan di Spa-Francorchamps bahawa juara dunia dua kali itu akan menggunakan kotak gear kelima bagi musim ini iaitu satu lebih daripada yang dibenarkan tanpa dikenakan penalti.

Verstappen dilihat tidak kisah dengan situasi itu apabila menang di Spa - satu daripada litar kegemarannya kerana banyak ruang untuk memintas - selepas bermula di petak ke-14, tahun lalu, berikutan dikenakan penalti berkaitan enjin.

Dia tampil kali ini dengan Red Bull mahu melebarkan rekod 13 kemenangan berturut-turut termasuk kemenangan ke-12 dalam semusim, sekali gus menjadi pasukan pertama mencapai kejayaan itu dalam semusim.

Verstappen menang tujuh perlumbaan terakhir dan memburu kemenangan ke-10 daripada 12 perlumbaan pada musim ini.

Dia mendahului rakan sepasukannya dari Mexico, Sergio Perez dengan kelebihan 110 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 7:11 PM