PELUMBA muda negara, Syarifuddin Azman atau dikenali Damok. FOTO OSMAN ADNAN.
PELUMBA muda negara, Syarifuddin Azman atau dikenali Damok. FOTO OSMAN ADNAN.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba motosikal muda negara, Syarifuddin Azman tiada misi lain selain meraih podium pertama di Pusingan 6 Kejuaraan Dunia JuniorGP dekat Litar Misano, Itali, minggu ini.

Pelumba yang mesra disapa Damok itu berkata, misi itu penting bagi memastikan dia dapat menyekat rakan sepasukan dari Sepanyol, Jose Antonio Rueda daripada dinobatkan selaku juara musim 2022.

Pelumba berusia 21 tahun itu yang beraksi bersama SIC Racing kini berada di tangga kedua dalam carta keseluruhan pelumba dengan 97 mata.

Bagaimanapun, Ruseda sudah meraih lima kemenangan untuk membolehkannya berada di kedudukan teratas dengan 178 mata ketika kempen 2022 selepas ini hanya berbaki dua pusingan lagi iaitu di Aragon dan Ricardo Tormo.

"Sudah tentu saya nak kejar rakan sepasukan sendiri iaitu Rueda (di Misano). Dia akan menjadi tumpuan utama saya di Misano nanti kerana sekiranya dia meraih nombor satu, dia akan dapat gelaran juara keseluruhan.

"Kalau boleh saya mahu menyekat dia daripada meraih gelaran itu. Jadi saya mahu memberikan saingan sengit kepadanya," katanya yang sebelum ini meraih tiga penamat di tempat kedua, masing-masing di Perlumbaan 1 dan 2 di Litar Catalunya dan Algarve.

Damok berkata, sekiranya dapat meraih kemenangan, ia tentunya akan menjadi hadiah terbaik buat Malaysia menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti.

"Kalau berjaya tentunya hadiah untuk Malaysia, doakan saya untuk mendapatkan penamat di podium," katanya.

Musim lalu, Damok menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 untuk meraih satu mata di Misano selepas bermula dari petak ke-20.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 5:57 PM