HAMILTON ketika sidang media di Monaco, semalam. FOTO AFP
HAMILTON ketika sidang media di Monaco, semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Lewis Hamilton jauh mengatasi pemandu Formula Satu yang lain dari segi pendapatan apabila menerima bayaran £40 juta (RM233.8 juta) setahun.

Pendapatan bintang Mercedes itu lebih dua kali ganda daripada pencabar lain selepas menandatangani kontrak lumayan baharu awal tahun ini.

Menjelang Grand Prix Monaco 2021 minggu ini, Lando Norris melonjak ke carta 10 teratas menerusi kontrak baharu £6 juta (RM35 juta) bersama McLaren sehingga 2023.

Sebastian Vettel yang muncul pemandu kedua berpendapatan paling tinggi pada 2020 ketika bersama Ferrari kini hanya bergaji £7.3 juta (RM42.6 juta) di Aston Martin manakala legenda Fernando Alonso yang kembali ke F1 untuk menyertai Alpine mengikat kontrak £6.55 juta (RM38 juta).

Pemandu Red Bull, Max Verstappen pula dengan kontrak £18.2 juta (RM106.38 juta) di tangga kedua, jauh mengatasi pendapatan rakan sepasukan baharunya, Sergio Perez.

Gaji pemandu Mexico itu pada 2021 dilaporkan hanya £4.37 juta namun lebih baik berbanding diterimanya ketika di Racing Point tahun lalu iaitu £2.5 juta.

Daniel Ricciardo berkongsi tempat ketiga menerusi kontrak £10.2 juta (RM59.62j) dengan McLaren, kurang £16 juta (RM93.5j) ketika dia bersama Renault namun bonus lumayan tetap menantinya.

Charles Leclerc dilaporkan menerima jumlah sama di Ferrari mengatasi bayaran 'budak baharu' Scuderia, Carlos Sainz.

Pelumba Sepanyol itu salah seorang pemandu yang mendapat kenaikan pendapatan musim ini iaitu £7.3 juta selepas menyertai Ferrari dari McLaren manakala Valtteri Bottas yang bersama juara dunia, Mercedes di tempat kesembilan dengan £5.82 juta.

Kimi Raikkonen, Lance Stroll dan Esteban Ocon antara pemandu yang turut mencatat pendapatan tujuh digit.

Musim baharu F1 menyaksikan beberapa pemandu baharu mengibarkan cabaran seperti Mick Schumacher, Nikita Mazepin dan Yuki Tsunoda tetapi hanya pelumba pasukan AlphaTauri dari Jepun, Tsunoda yang berjaya meraih mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 11:42 AM