ZARIF Syahiir (kanan) akan mengetuai trio recurve negara buru slot Paris 2024 di Piala Dunia di Antalya, Turkiye pada 15 dan 16 Jun ini. FOTO ARKIB NSTP
ZARIF Syahiir (kanan) akan mengetuai trio recurve negara buru slot Paris 2024 di Piala Dunia di Antalya, Turkiye pada 15 dan 16 Jun ini. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemanah berpengalaman negara, Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli mengakui mengalas tugas berat dalam usahanya membantu trio recurve lelaki negara layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos ini.

Selepas persaraan pemanah berpengalaman, Khairul Anuar Mohamad, hanya tinggal Zarif satu-satunya pemanah senior untuk membimbing skuad kebangsaan bersama Muhammad Syafiq Busthamin, Muhammad Danish Amsyar Norazlan dan Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi memburu tiket kelayakan terakhir.

Barisan pemanah negara hanya mempunyai satu lagi peluang untuk berbuat demikian di Piala Dunia di Antalya, Turkiye pada 15 dan 16 Jun ini.

Ketika peluang untuk layak dalam acara individu tipis, Zarif kini optimis untuk membawa trio recurve negara ke Paris 2024.

"Peluang masih terbuka apabila kami perlu menempatkan diri dalam kedudukan tiga terbaik di Turkiye untuk menempah slot secara automatik ke Paris 2024.

"Biarpun ketiga-tiga pemanah itu masih baru, itu bukan masalah kerana keserasian dan kerjasama menjadi keutamaan," katanya gigih menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai.

Menurutnya, sebelum ke Antalya, mereka akan mengambil bahagian pada dua siri Piala Dunia iaitu Peringkat 1 di Shanghai, China, pada 23 hingga 28 April dan Peringkat 2 di Yecheon, Korea Selatan pada 21-26 Mei sebelum ke Peringkat 3 di Antalya, yang menjadi pusingan kelayakan terakhir ke Paris 2024.

"Setiap kali berlatih, saya sentiasa berbincang dengan jurulatih mengenai bagaimana dan apa tindakan diperlukan, begitu juga setiap kali kami mahu ke kejohanan.

"Setiap kekurangan dalam pasukan baik dari segi individu kami akan berbincang bersama jurulatih," kata Zarif.

Zarif, 25, kini berada di ranking ke-161 recurve individu lelaki, Firdaus, 21, (209); Syafiq, 19, (197); dan Danish, 16, (368).

Untuk rekod, ketika ini hanya seorang pemanah negara layak ke Paris 2024, iaitu pemanah recurve wanita, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, yang meraih slot pada pusingan kelayakan benua Asia di Bangkok, Thailand, November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 7:07 PM