ALICE ketika beraksi di Sukan Sea Kemboja 2023.
ALICE ketika beraksi di Sukan Sea Kemboja 2023.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Atlet pingpong negara, Alice Chang Li Sian berharap dapat membantu pasukan negara layak beraksi di Sukan Olimpik 2024 sekali gus menamatkan penantian selama 36 tahun sejak kali terakhir Malaysia tampil di temasya sukan terbesar dunia itu.

Jelas Alice, meskipun bukan mudah untuk mengharungi kejohanan kelayakan iaitu Kejohanan Dunia Berpasukan di Busan, Korea Selatan bermula 16 Februari ini sebelum saingan individu di Bangkok, Thailand pada Mei, dia tidak mahu mengalah terlalu awal.

"Sekarang kami dalam persiapan untuk kejohanan dunia berpasukan di Busan dahulu. Di kejohanan ini pasukan yang berada di suku akhir boleh ke Olimpik. Memang agak susah di kejohanan dunia berpasukan tetapi saya rasa kalau tak bersaing, kita tak akan tahu bagaimana," katanya.

Alice antara atlet negara yang meraih pingat perak acara berpasukan wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bersama-sama Tee Ai Xin, Karen Lyne dan Ho Ying.

Alice turut membantu skuad ping pong meraih pingat di Sukan Sea Kemboja 2023 dalam acara berpasukan wanita (perak) dan beregu wanita (gangsa).

"Di Sukan Sea tahun lalu, kami mara ke pentas final berpasukan wanita, yang pertama dalam tempoh 33 tahun (ke final). Jadi tahun ini, harap untuk sukan pingpong, ada yang layak ke Olimpik.

"Sebagai seorang atlet, impian kami sudah tentunya mahu ke Olimpik dan itu sasaran saya. Untuk kelayakan itu, ia juga bergantung kepada undian. Tetapi bagi saya, saya tidak begitu mahu terlalu terburu-buru. Saya sudah melakukan yang terbaik pada masa ini, jadi mungkin keputusan juga menjadi baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 5:28 PM