NOORUL Ariffin  (kiri) menyerahkan sampul kepada Sharifah Raudzah sebagai simbolik kelulusan permohonan rumah PPR yang dipohon melalui Yakeb.  FOTO Siti Rohana Idrus
NOORUL Ariffin (kiri) menyerahkan sampul kepada Sharifah Raudzah sebagai simbolik kelulusan permohonan rumah PPR yang dipohon melalui Yakeb. FOTO Siti Rohana Idrus
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) mengenal pasti lebih 1,000 bekas atlet para yang masih belum berdaftar dengan yayasan itu.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, daripada 3,039 bekas atlet berdaftar, hanya 300 yang menjadi ahli yayasan dan menerima pelbagai manfaat diberikan.

"Bekas atlet yang ingin menjadi ahli Yakeb mestilah sekurang-kurangnya memiliki pencapaian di peringkat Sukan Sea dan untuk atlet para, banyak kategori yang dipertandingkan.

"Yakeb sudah ditubuhkan sejak 2007 lagi dengan keahlian pada masa itu hanya 180 dan untuk tahun ini kita ingin menambahkan lagi bilangan keahlian terutama dalam kalangan bekas atlet para.

"Sehubungan itu, kita yakin masih ramai lagi bekas atlet para yang mungkin tidak tahu mengenai Yakeb atau ada kekangan tertentu untuk mereka tampil berdaftar meskipun hebahan mengenai yayasan ini sudah dibuat," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Noorul Ariffin berkata, banyak manfaat disediakan kepada ahli membabitkan 12 skim antaranya bantuan rawatan RM20,000 setahun untuk sakit kronik, peralatan (RM20,000) dan khairat kematian (RM3,000).

Katanya lagi, bagi rawatan pesakit luar juga, ahli akan menerima RM2,500 dengan syarat rawatan diterima di hospital kerajaan selain ahli sakit terlantar diberikan RM300 sebulan selama enam bulan.

"Banyak manfaat diterima ahli Yakeb dan sebab itu lah kami mengalu-alukan bekas atlet agar mendaftarkan diri kerana kita tahu ramai dalam kalangan mereka sangat memerlukan bantuan," katanya.

Terdahulu beliau hadir di kediaman milik bekas atlet 'powerlifting', Sharifah Raudzah Syed Akil, 51, yang menerima rumah menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) Batang Merbau, di sini hasil permohonan dari Yakeb.

Selain Sharifah Raudzah, dua lagi bekas atlet yang dikunjungi ialah Ma Hussein Mat Noh di Bachok serta Sabri Awang (Rantau Panjang).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 4:34 PM