RAHMAT bersama jurulatihnya meraikan kejayaan merangkul pingat emas dan memecahkan rekod dunia acara 173kg. FOTO REUTERS
RAHMAT bersama jurulatihnya meraikan kejayaan merangkul pingat emas dan memecahkan rekod dunia acara 173kg. FOTO REUTERS
AFP

Hangzhou: Atlet angkat berat Indonesia yang dikenali kerana memiliki otot bicep kuat, Rahmat Erwin Abdullah menang pingat emas dan memecahkan rekod dunia miliknya di Sukan Asia selepas peserta pilihan dari China tersingkir, semalam.

Rahmat memenangi emas acara 73 kilogram (kg) lelaki apabila mengangkat 201kg ketika percubaan terakhir acara clean and jerk, iaitu lebih 1kg berbanding rekod dunia dicatatkannya di Kejohanan Dunia di Bogota, Disember lalu.

Pemenang pingat gangsa Olimpik itu kemudian melengkapkan angkatan keseluruhan 359kg sebelum mengajak jurulatihnya ke pentas dan mereka bergabung tenaga menunjukkan otot kepada penonton.

"Saya tidak mengira berapa rekod dunia yang saya sudah pecahkan," kata Rahmat.

"Saya sentiasa mahu fokus dan kekal tenang sepanjang kejohanan.

"Kunci utama kemenangan ini adalah kekal tenang. Saya tahu pasti akan menang. Saya perlu lakukannya dan tidak membazirkan tenaga."

Gaya Rahmat meraikan kemenangannya itu disambut dengan sorakan gemuruh penonton di Pusat Sukan Gimnasium Hangzhou, yang sebelum itu terdiam dan terkejut apabila atlet harapan mereka, Wei Yinting tersingkir.

Wei ketika itu mendahului Rahmat dengan 3kg selepas acara snatch, tetapi gagal dalam ketiga-tiga percubaannya mengangkat 180kg bagi acara clean and jerk.

Atlet China itu berkata, dia gagal kerana cedera lutut.

"Ia jelas menjejaskan prestasi saya dan apabila bimbang untuk mengangkat beban.

"Kecederaan lutut itu memberi kesan kepada acara clean and jerk walaupun tidak begitu terasa ketika snatch. Kesakitan amat terasa apabila saya mahu mengangkat beban dan saya tidak menjangka gagal mengangkat 180kg."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 1:00 PM