NUR Ain Nabilah, Aleena mengharumkan nama negara apabila muncul juara dunia di Gold Coast. -FOTO MSN
NUR Ain Nabilah, Aleena mengharumkan nama negara apabila muncul juara dunia di Gold Coast. -FOTO MSN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan 'hadiah istimewa' kepada dua wakil negara selepas mereka meraih gelaran juara dunia di kejohanan dunia boling padang yang berlangsung di Gold Coast, Australia, semalam.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, insentif berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Nawawi selepas berhempas pulas mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Malah, beliau juga berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memastikan atlet berkenaan menerima sokongan sepatutnya supaya kekal konsisten seterusnya meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Kita kena bincang dengan MSN kerana hasrat untuk atlet-atlet ini yang mempamerkan aksi cemerlang sudah tentu ada insentif untuk menghargai pengorbanan mereka.

"Pada masa sama, kita juga akan lihat sokongan boleh diberikan kepada mereka supaya terus konsisten dan maju lagi," katanya, ketika ditemui pada Majlis Perlawanan Persahabatan Malaysia dan Korea Selatan Untuk Meraikan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Bukit Kiara, sebentar tadi.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Malaysia menamatkan kemarau 15 tahun bergelar juara di pentas kejohanan dunia boling padang apabila meraih kejuaraan menerusi kategori beregu wanita.

Gandingan Nur Ain Nabilah dan Aleena mempamerkan aksi cemerlang sekali gus menundukkan lawan mereka dari Malta Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixon 15-11.

Kejayaan terbabit cukup bermakna apabila kedua-dua pasangan terbabit baharu saja di gandingan pada tahun ini namun mampu 'meletup' di persada antarabangsa dengan menumpaskan pemain lebih hebat dan berpengalaman.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah meraih kejayaan bergelar juara dunia pada 2008 menerusi Safuan Said selepas anak kelahiran Perak itu berjaya membuktikan kecemerlangan persembahannya dalam final Kejohanan Boling Padang Dunia di Christchurch, New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 5:14 PM