NUR Afrina (kiri) bersama kuartet 4x100m negara yang memenangi pingat gangsa dan memecahkan rekod kebangsaan di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu. FOTO BERNAMA
NUR Afrina (kiri) bersama kuartet 4x100m negara yang memenangi pingat gangsa dan memecahkan rekod kebangsaan di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut wanita negara, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal tekad mahu membalas kepercayaan dengan mencatatkan keputusan positif pada temasya Sukan Asia Hangzhou, China, hujung bulan ini.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata, dia akan beraksi dalam acara 4x100 meter (m) apabila acara olahraga berlangsung dari 29 September hingga 5 Oktober depan.

"Sebenarnya 100m adalah acara kegemaran saya, tetapi kelebihan saya lebih kepada 200m kerana larian melencong di selekoh.

"Saya tidak pernah terfikir akan dapat berlari sampai ke tahap ini selepas mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Asia, Sukan Asia di peringkat senior.

"Pengalaman ini akan membantu untuk kembangkan lagi karier dalam sukan olahraga," katanya.

Nur Afrina melangkah ke separuh akhir acara 200m di Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand pada Julai lalu dengan catatan 24.25 saat (s).

Namun, dia tidak akan beraksi untuk acara 200m di Sukan Asia Hangzhou apabila Shereen Samson Vallabuoy hampir pasti beraksi dalam acara itu berdasarkan kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dengan masa 23.33s.

Mereka akan bergandingan dengan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Aishah Rofina Aling untuk mewakili kuartet 4x100m dengan dua pelari simpanan iaitu Azreen Nabila Alias dan Nor Sarah Adi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 5:23 PM