HANS antara 15 individu lain yang dilantik sebagai ahli PSM. FOTO NSTP
HANS antara 15 individu lain yang dilantik sebagai ahli PSM. FOTO NSTP
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac dilantik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Nasional (PSM) yang baharu.

Pelakon dan pengarah filem itu salah seorang daripada 16 individu yang dilantik KBS bagi menganggotai agensi berkenaan selama dua penggal (2023-2025).

Selain terbabit dalam dunia korporat, Hans Isaac juga memiliki reputasi yang kukuh dalam dunia seni dan juga seorang pelakon, penerbit, pengarah, dan mempunyai pencapaian lain yang mencorakkan kerjayanya.

Selain Hans Isaac, terdapat 15 individu lain yang dilantik sebagai ahli-ahli perbadanan itu, yang merangkumi wakil dari pelbagai latar belakang termasuk sektor korporat, persatuan sukan, dan kerajaan.

Antara individu-individu tersebut ialah Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, personaliti televisyen Zahir Kelvin Ong Abdullah, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menjelaskan bahawa pelantikan dilakukan dengan tujuan untuk memastikan bahawa perbadanan bergerak ke arah pengurusan fasiliti yang mampan dan mengamalkan tadbir urus korporat yang baik.

"Perkara itu turut membabitkan usaha bagi merakyatkan fasiliti PSM untuk kegunaan orang awam dalam mempromosi gaya hidup sihat," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KBS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 11:47 AM