MUHAMMAD Hawari dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu. FOTO KAME 2022
MUHAMMAD Hawari dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu. FOTO KAME 2022
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan RM1.48 juta dalam usaha membantu misi pencarian pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkarasu memaklumkan peruntukan terbabit akan disalurkan kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi memastikan Muhammad Hawari dapat ditemui dalam tempoh terdekat ini.

"Usaha mencari dan menyelamat kini giat dijalankan di setiap kem dan khemah di gunung Everest itu. Dana yang disalurkan itu juga diharap supaya misi mencari dan menyelamat Hawari berjaya dan seterusnya dibawa pulang dengan selamat.

"Misi mencari dan menyelamat perlu dilakukan segera kerana kawasan gunung Everest akan ditutup pada 29 Mei dan sehari sebelum itu semua pendaki perlu segera turun," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporakan Hawari yang berjaya menawan puncak Everest kelmarin dilaporkan hilang.

Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki berkata, Hawari dilaporkan hilang pagi Jumaat selepas turun dan berehat di kem empat sebaik berjaya menawan puncak Everest pada 8,848 meter dari paras laut.

Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung dan rakan pendaki ME2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 6:05 PM